Anda di sini

Aseanapol tingkat usaha banteras jenayah rentas sempadan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Aseanapol sedang giat menjalankan kerjasama dengan tiga negara maju iaitu Jepun, New Zealand dan Australia sebagai usaha berkongsi pengalaman membanteras jenayah terancang rentas sempadan.

Pengarah Perkhidmatan Polis Sekretariat Aseanapol ACP Mohamad Anil Shah Abdullah berkata antara kerjasama yang dipertingkat ialah latihan kepolisan bagi meningkatkan keupayaan negara-negara anggotanya membanters jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan orang dan penyeludupan dadah.

“Kerjasama ini dilihat dapat meningkatkan keupayaan pasukan polis di kalangan negara anggota antaranya melalui persidangan tahunan untuk bertukar dan berkongsi pengalaman membanteras jenayah terancang rentas sempadan seperti pemerdagangan orang dan penyeludupan dadah,” katanya ketika ditemui selepas majlis serah dan terima tugas Pengarah Eksekutif Sekretariat Aseanapol di sini, semalam.

Pada majlis itu Pengarah Eksekutif Sekretariat Aseanapol Lt Jen Sar Moline dari Cambodian National Police menyerahkan jawatan kepada SAC Pengiran Datuk Abdul Wahab Pengiran Omar dari Polis Diraja Brunei.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan timbalannya Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Mohamad Anil Shah berkata Aseanapol juga mempergiatkan usaha kerjasama di kalangan negara anggotanya untuk membanteras jenayah itu secara holistik.

Beliau berkata Aseanapol yang beroperasi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejak 2010 dengan kekuatan lapan pegawai dan 20 anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu mengelola latihan di samping memperkukuh hubungan antara ketua-ketua polis negara anggota.

Katanya usaha memerangi jenayah terancang rentas sempadan memerlukan kerjasama strategik dalam penyaluran maklumat termasuk perkongsian pengalaman dengan negara jiran.

Negara-negara yang menganggotai Aseanapol ialah Malaysia, Brunei, Indonesia, Laos, Filipina, Vietnam, Kemboja, Singapura, Thailand dan Myanmar. — Bernama

Advertisement