Anda di sini

YKPPM sedia bantu golongan yang memerlukan: Khadijah

Advertisement

MIRI: “Kami bersedia membantu agar kesusahan tidak ditanggung sendirian,” jelas Pengerusi Yayasan Kebajikan dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia (YKPPM) Khadijah Aam.

Berucap menghadiri kenduri kesyukuran di Rumah Anak Kesayangan Kami (RAAKK) di sini petang semalam, Khadijah berkata membantu dan membela nasib golongan memerlukan adalah antara peranan utama YKPPM tanpa mengira latar belakang dan agama.

Antaranya golongan yang harus dibantu ialah anak-anak yatim, anak-anak terbiar serta remaja bermasalah.

“Kami sekarang menaungi sebanyak 80 rumah kebajikan di seluruh negara dan RAAKK adalah salah satu daripadanya.

“Kami ingin membela nasib kanak-kanak seperti anak-anak yatim serta pelbagai golongan lain yang memerlukan pertolongan dan perkhidmatan kami,” katanya.

Sehubungan itu, Khadijah mengalu-alukan ibu bapa dan penjaga khasnya yang berdepan dengan remaja bermasalah agar merujuk kepada rumah kebajikan YKPPM untuk mendapatkan bantuan.

Selain membela nasib kanak-kanak dan remaja, mereka turut menghulurkan bantuan meringankan beban penduduk miskin serta pesakit miskin yang memerlukan bantuan perbelanjaan perubatan dan rawatan.

Mengulas tentang RAAKK, Pengerusinya Ramli Maiyadim memberitahu bahawa rumah jagaan itu telah beroperasi sejak 2007 di Pujut 8 di sini.

Rumah itu sekarang menjaga seramai 29 kanak-kanak dan remaja, 16 lelaki dan 13 perempuan berusia empat hingga 15 tahun.

Advertisement