Anda di sini

TMM 2014: Pengusaha inap desa Melayu tetap bersemangat

Advertisement

KUCHING: Meskipun fokus tarikan pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) lebih menjurus ke arah industri inap desa bagi etnik Dayak iaitu penginapan rumah panjang, namun ia tidak mematah semangat pengusaha industri tersebut di kalangan masyarakat Melayu.

Sebanyak hampir 30 inap desa terdapat di seluruh Sarawak termasuk industri inap desa yang diusahakan masyarakat Melayu di sini.

Ia merangkumi Kampung Buntal, Kampung Santubong, Telaga Air, Siol Kandis, Tebakang Melayu dan Kampung Panglima Seman.

Menurut Pengerusi Inap Desa Negeri Jamilah Shukri, penglibatan masyarakat Melayu dalam perusahaan inap desa tidak dapat dinafikan memandangkan masyarakat tersebut turut menyumbang kepada keunikan negeri ini.

“Setiap etnik mahupun masyarakat di negeri ini secara khasnya mempunyai keunikan yang tersendiri dan tidak ketinggalan buat masyarakat Melayu.

“Justeru, saya mewakili pengusaha inap desa masyarakat Melayu akan bersama-sama memastikan perusahaan inap desa ini sentiasa mendapat tarikan daripada pelancong dalam mahupun luar negeri sempena TMM 2014 dan Tahun Melawat Sarawak 2014 (TMS 2014) kali ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, dengan adanya kemudahan inap desa dalm industri pelancongan negara, iadapat  menampung kekurangan bilik hotel di sesetengah tempat di samping membantu meningkatkan ekonomi negara.

Ia juga dilihat sebagai usaha masyarakat memperkenal beberapa kawasan kampung yang boleh diketengahkan keunikannya kepada pelancong yang datang, ujarnya.

“Pengusaha inap desa di sekitar bandar raya ini boleh mengambil peluang yang ada untuk memperkenal budaya tempatan, antaranya tarian tradisional masyarakat Melayu dan majlis perkahwinan,” tambahnya.

Pengusaha Inap Desa Petra Jaya Azizul Annuar berkata, beliau berasa teruja untuk menyambut kedatangan TMS 2014 pada tahun ini serta menyifatkan ia sebagai peluang untuk pengusaha memajukan industri itu.

“TMS dilihat sebagai peluang untuk pengusaha seperti kami memajukan industri inap desa.

“Pada masa sama, kami juga berpeluang berkongsi gaya hidup masyarakat desa dalam pelbagai bentuk seperti kebudayaan, makanan dan sebagainya,” katanya.

Azizul yang mula mengusahakan inap desa persendirian sejak 2010 berkata, setakat ini dia  menerima pelanggan dari segenap pelosok di negara ini yang menggunakan perkhidmatan inap desanya.

Selain menyediakan perkhidmatan inap desa sebagai penginapan, beliau turut menyediakan perkhidmatan kereta sewa bagi memudahkan pelancong bergerak ke destinasi yang hendak dilawati.

“Saya berharap dengan adanya kemudahan inap desa di sekitar bandar raya ini kita secara khususnya mampu membantu meningkatkan taraf ekonomi negara sekali gus menyemarakkan lagi TMM dan TMS pada tahun ini,” ujarnya.

Advertisement