Anda di sini

SUHAKAM pandang serius serbuan terhadap Persatuan Bible Malaysia

Advertisement

KUCHING: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memandang serius tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis yang menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Naib Pengerusinya Datuk Dr Khiaw menerusi satu kenyataan semalam berkata SUHAKAM sangat bimbang terhadap cara serbuan tersebut yang dilapor dilakukan termasuk penahanan Presiden BSM Lee Min Choon dan Pengurus Sinclair Wong pada Khamis lepas.

“Suruhanjaya (SUHAKAM) memikirkan penting bagi pihak berkuasa dalam menjalankan tugas, melaksanakan kuasa dan budi bicara mereka mengikut undang-undang dan sejajar dengan prinsip-prinsip hak untuk perbicaraan yang adil dan perlindungan undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR).

“Suruhanjaya juga menyeru pihak berkuasa supaya menghormati dan memastikan hak semua rakyat untuk kebebasan beragama seperti yang dijamin di bawah Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 10 UDHR termasuk hak semua masyarakat untuk bebas menganut dan mengamalkan agama mereka,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan dari Kuala Lumpur.

Mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang pelbagai budaya dan agama, beliau berkata SUHAKAM melihat keperluan penting bagi rakyat Malaysia di semua peringkat untuk menunjukkan tahap toleransi agama yang lebih tinggi dan hormat dalam mengendalikan isu-isu agama dan budaya.

Advertisement