Anda di sini

Rakyat Sarawak harus kekalkan toleransi agama yang diwarisi

Advertisement

KUCHING: Rakyat Sarawak harus mengekalkan toleransi agama yang diwarisi sejak dahulu lagi bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negeri ini terus terpelihara.

Pengerusi PKR Negeri Baru Bian berkata, selama ini Sarawak menjadi contoh terbaik komunitinya yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain di samping berpegang teguh kepada toleransi agama.

“Saya gembira kerana rakyat Sarawak telah membuktikan mereka memahami konsep kebebasan beragama,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Krismas di kediaman beliau, di sini, semalam.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat pelbagai kaum di negeri ini agar tidak mudah terpengaruh dengan insiden bantahan daripada masyarakat Islam di Selangor berhubung penggunaan kalimah Allah oleh gereja serta rampasan Kitab Kudus oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis, baru-baru ini.

Beliau percaya isu itu hanya akan memecah-belahkan perpaduan pelbagai kaum dan jika ia gagal ditangani dengan bijak, ia boleh menjejaskan program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan berkata, insiden itu boleh menjejaskan kempen TMM 2014 meskipun Sarawak masih mengamalkan toleransi agama.

“Malaysia kini dikenali sebagai salah satu negara yang tidak mengamalkan toleransi agama dan perkara ini secara langsung menjejaskan TMM 2014.

“Ia adalah realiti bagi sesetengah negeri di negara yang tidak mengamalkan kebebasan agama dan insiden di Selangor baru-baru ini adalah sesuatu yang sangat tidak wajar,” tegasnya.

Advertisement