Anda di sini

Projek DAP tidak gugat sokongan kepada BN

Advertisement

KUCHING: Pelaksanaan projek infrastruktur asas amnya di kawasan luar bandar di bawah inisiatif Impian Sarawak oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak akan menggugat sokongan padu rakyat kepada Barisan Nasional (BN).

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawam Ikom yang yakin dengan perkara ini berkata DAP bebas untuk memberi khidmat kepada rakyat termasuk di kawasan yang disandangnya di Pakan.

Namun katanya impak daripada usaha-usaha dan projek-projek yang dilaksanakan oleh DAP tidak akan memberi kesan yang banyak kepada kekukuhan BN di Pakan dan kubu kuat BN yang lain.

“DAP boleh menyumbang dalam apa jua cara yang mereka mampu dengan memberi khidmat kepada masyarakat memandangkan ia adalah hak mereka.

“Tidak dinafikan bahawa mereka (DAP) mungkin boleh mempengaruhi segelintir rakyat daripada projek tersebut tetapi seperkara yang pasti ialah mereka tidak mungkin mampu merampas kerusi BN, khasnya Pakan.

“Ini kerana terdapat ramai lagi penyokong BN daripada bilangan kecil yang menyokong mereka kerana untuk merampas kerusi BN bukan semudah yang difikirkan oleh mereka,” kata Mawan.

Tambah Mawan yang juga Menteri Kanan dan Menteri Pembangunan Sosial, memang tidak dinafikan bahawa terdapat di kalangan mereka yang berdiri teguh di belakang DAP di Pakan.

“Tetapi bagi saya ia adalah lumrah dalam politik di mana berlaku perbezaan pendapat, sokongan dan pendirian daripada rakyat dan penyokong-penyokong parti,” kata Mawan sebagai mengulas mengenai pelancaran sembilan lagi projek Impian Sarawak oleh DAP termasuk di kawasan Pakan.

Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen dalam kenyataannya baru-baru ini berkata sembilan projek telah dikenal pasti untuk dilaksanakan pada suku pertama tahun ini melibatkan beberapa kawasan.

Antaranya Pakan, Kedup, Marudi, Batu Danau, Repok, Tarat, Bawang Assan, Kidurong dan Lanang.

Projek pertama akan dilaksanakan di Ulu Wak, Pakan, Julau di mana pasukan Impian Sarawak akan memasang sistem paip air graviti bagi memastikan bekalan air yang konsisten kepada penduduk.

Projek Impian Sarawak merupakan inisiatif DAP untuk menyediakan infrastruktur asas seperti jalan, air dan elektrik kepada penduduk luar bandar.

Ia merupakan sebahagian daripada strategi ‘Go-Rural’ parti untuk memenangi sokongan pengundi luar bandar sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.

Sejak pelancarannya Oktober 2013, tiga projek berjaya dilaksanakan iaitu sistem paip air graviti di Kampung Sait Muk Ayun, Bengoh, menaik taraf Rumah Gawai di Serikin, Bau (Tasik Biru) dan projek bekalan benih kelapa sawit kepada pekebun di Sebujok, Ulu Undup, Sri Aman.

Advertisement