Anda di sini

Penamatan kontrak guru KAFA adalah proses biasa setiap tahun

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Penamatan kontrak guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Terengganu adalah proses biasa dan dilakukan setiap tahun bagi memilih guru yang terbaik sahaja untuk berkhidmat dengan Yayasan Islam Terengganu (YIT), kata Pengarah YIT Md Kamaru Al Amin Ismail.

Beliau berkata setiap tahun, YIT memang ada menamatkan kontrak antara 200 hingga 300 guru KAFA dan tidak timbul isu politik seperti yang dibangkitkan pembangkang.

“Tindakan ini dibuat berdasarkan faktor prestasi kerana kita memerlukan guru-guru yang berwibawa, berkebolehan dan berdedikasi untuk berkhidmat dengan YIT kerana kami mempunyai sistem pengukuran prestasi untuk kakitangan.

“Antara yang ditamatkan kontrak itu ialah mereka yang menunjukkan prestasi tidak bagus, faktor usia dan masalah disiplin,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penamatan kontrak guru-guru berkenaan pada 31 Dis lalu yang kini dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang.

Beliau bagaimanapun berkata, guru-guru KAFA yang ditamatkan kontrak boleh datang ke pejabat YIT untuk mengemukakan surat rayuan.

“Saya dimaklumkan, kita ada menerima surat rayuan dari mereka dan Insya-Allah pada 15 Jan ini kita akan kumpulkan surat rayuan dari setiap daerah untuk kita semak dan nilai semula sama ada untuk diberi peluang kedua,” katanya.

Sehingga kini terdapat kira-kira 3,500 orang guru KAFA di seluruh Terengganu.

Selain guru KAFA, YIT juga mempunyai kira-kira 3,200 guru khidmat masyarakat yang mengajar pendidikan Islam untuk golongan wanita di surau-surau dan memberi ceramah agama di kampung-kampung di seluruh negeri.

Md Kamaru ebrkata seperti guru KAFA, guru khidmat masyarakat juga ada yang ditamatkan kontrak andai prestasi tidak memuaskan dan masalah disiplin. — Bernama

Advertisement