Anda di sini

Pemimpin BN Sabah, Sarawak perlu suarakan pendirian kukuh

Advertisement

KUCHING: Pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah dan Sarawak yang menyandang jawatan dalam  kabinet persekutuan dan kabinet perlu menyuarakan pendirian kukuh mereka kepada pemimpin tertinggi negara berhubung isu rampasan kitab Kristian oleh pihak berkuasa agama Selangor yang dikatakan keterlaluan.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian berkata pihaknya menggesa pemimpin BN yang mewakili Sarawak dan Sabah di peringkat persekutuan termasuk menteri kabinet, khususnya rakyat Sarawak dan Sabah agar memberitahu Perdana Menteri bahawa ia melampaui batas.

Katanya bukan sahaja Ahli Parlimen persekutuan, tetapi kerajaan negeri sebagai kerajaan dalam persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak harus menjelaskan kepada kerajaan tentang kebebasan beragama seperti mana yang dipersetujui ketika membentuk Malaysia dahulu.

“Ketua Menteri Sabah dan Sarawak mesti memberitahu Perdana Menteri.

“Adalah merugikan mereka jika mereka tidak lakukan (sebagai rakyat) Sabah dan Sarawak, kita tidak akan gembira dengan perkara ini,” katanya mengulas mengenai isu sensitif berkenaan di pejabat PKR Stampin, di sini kelmarin .

Beliau menegaskan, rampasan kitab suci Kristian itu harus dilihat sebagai hak rakyat seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Katanya ia bukan sebagai satu percubaan untuk mewujudkan syakwasangka dan mempolitikkan isu ini kerana ia adalah satu perkara yang sensitif.

“Hak-hak yang dijamin, ia sudah ada. Ia bukan satu perkara yang baharu.

“Masalahnya ialah orang tertentu menyatakan bahawa orang Kristian menuntut tetapi hak-hak ini yang dijamin dalam perlembagaan ketika kita menyertai pembentukan Malaysia.

“Ia bukan secara kebetulan bahawa titik pertama dalam perjanjian 18 dan 20 ialah kebebasan beragama,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan.

Pegawai Sekretariat Biro Pilihan Raya PKR Baharuddin Mokhsen turut menyuarakan sokongan beliau terhadap kenyataan Baru.

“Sebagai seorang pemimpin Islam dalam PKR, perkara ini merugikan bukan hanya kepada Islam tetapi juga bukan Islam,” katanya.

Terdahulu, Baru mengalu-alukan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman bahawa kerajaan negeri tidak akan memperlaga perkara itu.

Bagaimanapun, beliau mahu pemimpin tertinggi negara memasukkan ia dalam perlembagaan dan dasar-dasar kerajaan di peringkat persekutuan.

Advertisement