Anda di sini

Pemberian kuasa kepada pengarah percepat baik pulih sekolah

Advertisement

KUCHING: Pemberian kuasa kepada pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk meluluskan projek bernilai sehingga RM5 juta setahun akan mempercepatkan kerja-kerja membaik pulih fizikal serta prasarana sekolah yang amat memerlukan di Sarawak.

Pengerusi Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie dalam kenyataan akhbarnya semalam berkata dasar itu sangat sesuai dan praktikal terutama Sarawak yang mempunyai keluasan sama besar dengan Semenanjung Malaysia.

Beliau menambah, menerusi pengenalan dasar itu, pengarah JPN Sarawak menangani isu-isu sekolah yang memerlukan perhatian segera tanpa melalui birokrasi ketat sehingga boleh melambatkan usaha menambah baik keadaan fizikal sekolah yang amat memerlukan.

Sambil menyifatkan ia suatu yang diharapkan selama ini, KGBS percaya usaha itu akan membawa manfaat kepada sektor pendidikan di Sarawak khasnya dan seluruh negara amnya.

“KGBS mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana telah melaksanakan transformasi positif ini.

“Ia penting demi memastikan projek menambah baik fizikal dan transformasi positif demi memastikan projek prasarana sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Usaha itu juga katanya ia menepati hasrat salah satu inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu memperkasakan JPN.

Justeru, KGBS berharap dasar itu akan mendatangkan impak yang positif dalam sistem pendidikan negara kita khususnya dari segi pembangunan fizikal dan prasarana bagi sekolah-sekolah pedalaman Sarawak.

Advertisement