Anda di sini

Pelancaran sembilan projek DAP agenda politik tembusi luar bandar

Advertisement

KUCHING: Pelancaran sembilan lagi projek oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) di bawah inisiatif Impian pada suku pertama tahun ini merupakan satu lagi agenda politik parti pembangkang itu dalam usaha menembusi kawasan luar bandar.

Sembilan projek yang telah dikenal pasti itu melibatkan beberapa kawasan luar bandar dan salah satu daripadanya ialah Kedup, Serian yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Martin Ben ketika dihubungi bagi mengulas perkara ini semalam berkata ia bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila Kedup turut disenaraikan dalam sembilan daripada projek Impian Sarawak DAP.

Ini kerana menurut Martin, umum ketahui bahawa DAP pada Pilihan Raya Umum yang lalu cuba menawan Kedup di bawah Parlimen Serian namun gagal berbuat demikian.

“Saya sebagai wakil rakyat di kawasan Kedup ini, tidak boleh menghalang DAP daripada melaksanakan projek-projek mereka, antaranya pemasangan sistem paip air graviti bagi memastikan bekalan air konsisten ke kampung-kampung di Kedup.

“Bagi saya ia bukan perkara baharu kerana kebanyakan kampung di Kedup sudah menikmati bekalan air bersih cuma sedikit lewat kerana penyalurannya dilakukan secara berperingkat-peringkat tetapi berterusan oleh kerajaan di bawah BN,” katanya.

Tambah Martin, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin telah melancarkan Loji Perawatan Air Slabi di Serian bernilai RM116.5 juta pada Disember lepas.

Menerusi pelancaran loji tersebut, semua penduduk Sarawak termasuk di kawasan pedalaman akan menikmati bekalan air bersih dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Loji rawatan air yang baharu ini siap pada 7 April 2013 lalu dan mampu menyalurkan 50 juta liter padu air sehari berbanding 25 juta padu air yang disalurkan loji rawatan air lama.

“Loji Perawatan Air Slabi di Serian sudah cukup untuk menampung keperluan rakyat di Kedup tetapi oleh kerana ia baharu sahaja dilancarkan maka ia memerlukan sedikit masa untuk membolehkan semua rakyat menikmatinya.

“Kerajaan tidak pernah mengabaikan keperluan rakyat tetapi tidak semua masalah atau perkara dapat dilakukan secara serentak tetapi yang pasti pada akhirnya semua rakyat akan menikmatinya,” ujarnya.

Advertisement