Anda di sini

Kementerian Pendidikan siasat kenaikan harga di kantin sekolah

Advertisement

BESUT: Kementerian Pendidikan akan menyiasat dan menyemak harga makanan dan minuman di kantin sekolah di seluruh negara bagi memastikan tiada kenaikan melampau dilakukan pengusaha kantin yang boleh membebankan ibu bapa mahupun pelajar.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata siasatan itu akan dilakukan satu jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abdul Ghaffar Mahmud.

Bagaimanapun setakat ini, katanya pihak kementerian tidak menerima sebarang aduan atau laporan rasmi daripada pentadbir sekolah mahupun ibu bapa mengenai perkara itu.

“Pengusaha kantin sekolah tidak sepatutnya menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual atas alasan kenaikan harga beberapa jenis barangan terutama gula hingga membebankan pelajar,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tok Has di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kementerian akan berusaha mencari jalan terbaik bagi meringankan beban para guru yang tidak berjaya mendapat kelulusan pertukaran balik ke negeri masing-masing sebagaimana keputusan dikeluarkan oleh kementerian baru-baru ini.

Katanya pihak kementerian tidak dapat memenuhi permintaan mereka kerana tiada kekosongan dengan memberikan contoh di Kelantan yang mempunyai kelebihan  30,000 guru manakala di Terengganu dan Kedah pula masing-masing mempunyai kelebihan 10,000 orang.

Antara masalah lain ialah mereka yang memohon balik ke negeri-negeri berkenaan tidak memenuhi kekosongan opsyen (aliran) yang diperlukan di negeri berkenaan, katanya.

“Mereka memang wajar dibantu tetapi kena ingat kerana masih ramai memohon dari aliran Bahasa Melayu manakala keperluan ialah untuk mengajar Bahasa Inggeris dan daripada kalangan yang mengajar Sejarah tetapi keperluan pula untuk mata pelajaran Sains,” katanya.

Idris berkata satu mesyuarat peringkat kementerian akan diadakan pada pertengahan bulan ini bagi membantu guru yang mempunyai alasan kukuh untuk bertukar seperti ibu atau ayah yang sakit, hendak bersama isteri atau suami yang telah lama tinggal berasingan dan berjauhan dan juga kerana masalah keselamatan atau sakit.

Sementara itu, beliau meminta semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, pentadbiran daerah mahupun pengetua dan guru besar memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada persekolahan kerana faktor miskin.

“Sekiranya ada, saya minta pentadbir sekolah segera membuat laporan kepada KPM di samping memaklumkan juga kepada Ahli Parlimen, ADUN, Pegawai Daerah dan Pegawai Pendidikan Daerah supaya ia dapat diatasi segera,” katanya. — Bernama

Advertisement