Anda di sini

Enam tahanan terakhir ISA dibebaskan

Advertisement

TAIPING: Kesemua enam tahanan terakhir Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan pada jam 8.30 pagi semalam di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping di sini.

Mereka terdiri daripada tiga rakyat Malaysia, dua rakyat Indonesia dan seorang rakyat Filipina yang merupakan anggota kumpulan pengganas Darul Islamiah (DI) Sabah yang ditahan sejak 14 November 2011.

Rakyat Malaysia tersebut ialah Adzmi Pindatun, Mohd Nazri Dollah dan Bakar Baba.

Sementara, dua warganegara Indonesia ialah Muhammad Adnan Umar dan Darto Bandu manakala warganegara Filipina ialah Muadz Hakim.

Dengan pakaian biasa, wajah setiap daripada mereka kelihatan tenang dan seolah-olah menggambarkan kegembiraan dan rasa syukur dengan pembebasan semalam.

Sebelum melangkah keluar dari pintu utama kem tahanan berkenaan sambil membawa beg dan kotak berisi barangan peribadi, kesemua mereka sempat meluangkan masa berbual-bual seketika dengan sebahagian pegawai dan petugas kem selain merakamkan gambar bersama-sama.

Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada petugas dan pegawai di kem berkenaan atas penjagaan sepanjang dua tahun di situ.

Turut kelihatan Pengarah Tempat Tahanan Perlindungan Taiping Penolong Komisioner Penjara Mohd Roslen Ramli yang bersalam dan mengucapkan selamat jalan kepada mereka sambil memberi kata-kata perangsang.

“Jangan risau apa-apa, kamu sekarang sudah dibebaskan,” katanya sebelum kesemua enam tahanan terakhir itu dibawa keluar menaiki sebuah kenderaan.

Kelmarin Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan enam tahanan terakhir ISA itu dibebaskan semalam.

Pembebasan tahanan ISA ini berikutan pemansuhan akta tersebut dan digantikan dengan penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 pada 31 Julai 2012. — Bernama

Advertisement