Anda di sini

Dua sekolah di Sarawak masih ditutup ekoran banjir

Advertisement

KUCHING: Sumber Unit Perhubungan Awam Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak memberitahu bahawa setakat jam 2.30 petang semalam dua sekolah masih ditutup ekoran banjir.

Menurut Ahli Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri Datuk Fatimah Abdullah, dua sekolah yang terjejas adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tegageng di Subis dan SK Kampung Klid/Plajau di Dalat.

“Bantuan keseluruhan yang dihantar dan diagihkan setakat ini adalah untuk 1,987 orang, 563 keluarga dengan 994 set makanan.

“Kos bantuan makanan kering yang dihantar menggunakan tongkang ke tiga tempat berhampiran iaitu Kampung Tegageng, Kampung Klid dan Kampung Narub bernilai lebih kurang RM39,748 berserta kos pengangkutan untuk penghantaran bantuan iaitu RM6,500,” katanya melalui sistem pesanan ringkas semalam.

Sementara itu, tiga pusat pemindahan di Sarawak dibuka sepanjang masa dalam keadaan bersiap siaga dan memberi bantuan kepada masyarakat di kawasan yang berpotensi terjejas akibat banjir.

Pusat operasi negeri di sini melaporkan bahawa pusat pemindahan diletakkan di Dewan Sukan KPSU Tatau, Dewan Masyarakat Bakong dan SK Kampung Iran masih lagi beroperasi semalam.

Banjir itu turut menjejas­kan 10,851 orang dari 1,579 keluarga.

Daripada jumlah itu , 82 keluarga atau 315 orang telah dipindahkan .

Menurut Jabatan Meterologi Negeri semalam, hujan pada hari Sabtu terutama berpusat di Miri dan Limbang.

Manakala pada sebelah petang pula di Kapit, Bintulu dan Sibu pada waktu malam.

Di Mukah, paras air telah surut di kebanyakan kawasan yang terjejas manakala be­berapa jalan-jalan utama hanya dapat digunakan oleh kender­aan besar.

Bagaimanapun, tiga jalan menuju Rumah Buda Dijih, Rumah Ngelambai dan Rumah Peter masih tidak dapat dilalui kenderaan.

Di Bintulu, 29 keluarga masih ditempatkan di Dewan Sukan KPSU Tatau .

Bagi mereka di Niah, Miri, kesemua 21 keluarga dari Kam­pung Iran, Suai masih ditem­patkan di SK Kampung Iran.

Pada masa yang sama, di Marudi 30 keluarga dari kawasan setinggan Bakong masih ditempatkan di Dewan Masyarakat Bakong manakala paras air telah surut di keban­yakan kawasan.

Untuk laporan cuaca pada 4 petang semalam, menurut imej radar pada jam 3.30 petang dan imej satelit pada jam 3 petang, ia menunjukkan bahawa kelom­pok awan hujan telah terbentuk di hampir semua bahagian di Sarawak.

Oleh itu, Jabatan Meteor­ologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan amaran berat hujan dan ribut petir pada jam 2:34 petang semalam di Limbang, Miri, Kapit (daerah Belaga) , Bintulu, Mukah (ter­masuk Dalat dan Matu) , Sibu (daerah Selangau), Sarikei (Ju­lau dan daerah Pakan), Betong, Samarahan dan Kuching dan dijangka berterusan sehingga awal malam.

Keadaan ini, MET Malay­sia memberi amaran, boleh menyebabkan angin kencang dan banjir kilat.

Bagi unjuran tujuh hari cuaca , hari-hari yang akan datang dijangka lembap di bahagian-bahagian tertentu terutama ka­wasan pedalaman dari petang hingga malam dan pada waktu pagi untuk kawasan pantai.

Secara amnya, negeri Sarawak dijangka masih lembab untuk beberapa hari yang akan datang di sesetengah bahagian di mana cuaca lembab dijangkakan di bahagian pedalaman pada sebelah petang hingga malam dan kawasan perairan pantai pada sebelah pagi.

Sementara itu, Jabatan Perta­hanan Awam Malaysia (JPAM) setakat jam 5.30 petang se­malam memaklumkan bahawa air pasang besar bermula jam 6 petang semalam dan biasanya berakhir antara lapan hingga 12 jam kemudian.

Advertisement