Anda di sini

Beri sokongan moral bantu ibu tunggal

Advertisement

MIRI: Masyarakat setempat diingatkan agar memberi sokongan moral dalam membantu golongan yang memerlukan seperti keluarga yang terdiri daripada ibu tunggal.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin memberitahu, sokongan berkenaan penting bagi memastikan ibu-ibu tunggal tersebut mempunyai peluang untuk memperbaiki dan meningkatkan kehidupan mereka.

“Keluarga yang terdiri daripada golongan ibu tunggal memerlukan sokongan moral dan galakan daripada masyarakat setempat.

“Dengan sokongan serta galakan yang kita berikan itu, ia secara langsung dapat membantu memberi mereka semangat untuk memperbaiki keadaan kehidupan mereka sekeluarga,” jelas Lee.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Kutipan Dana Pendidikan Kelab Sosial dan Kebajikan Harmoni (Persatuan Ibu-ibu Tunggal Miri) di Restoran Boulevard di sini malam kelmarin.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut memberi sedikit latar belakang mengenai kelab terbabit.

Menurutnya kelab tersebut telah ditubuhkan di bawah naungan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri.

Berikutan pertumbuhan positif melalui kelab tersebut, ia kemudiannya diletakkan di bawah pengurusan sepenuhnya kelab terbabit.

Secara keseluruhan, Lee berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi kelab tersebut dalam menangani kepentingan kebajikan ahli-ahlinya serta anak-anak mereka.

“Di bawah kepimpinan yang baik melalui pengerusinya iaitu Connie Tang, kelab ini telah menekankan pelbagai kepentingan dan masalah yang dihadapi golongan ibu tunggal di bandar raya ini,” ujarnya.

Katanya, pelbagai bantuan turut telah disalurkan kepada kelab tersebut seperti penyediaan bas sekolah secara percuma kepada kanak-kanak yang terdiri daripada keluarga miskin, kelas tambahan bagi bahasa Inggeris, latihan kemahiran untuk ibu tunggal, pusat jagaan harian ibu-ibu tunggal yang terletak di bandar baharu Permyjaya dan lain-lain.

Mengenai aspek keselamatan, jelas Lee kelab tersebut telah diberi akses secara langsung kepada pihak polis.

Katanya, ahli-ahli kelab tersebut boleh merujuk masalah keselamatan mereka terus dengan pegawai polis yang dipertanggungjawabkan untuk kepentingan kebajikan keselamatan mereka.

Sehubungan itu kata Lee, pihaknya turut sentiasa terbuka untuk membantu dan menangani masalah yang dihadapi oleh ibu-ibu tunggal.

Terdahulu, pengerusi kelab terbabit Connie Tang berkata, kelab tersebut tidak bertindak hanya memberi bantuan semata-mata tetapi turut memberi sokongan moral dan bimbingan kepada ahlinya.

“Kelab ini turut menyediakan sesi kaunseling kepada ahli-ahlinya dengan membantu mereka mencari pekerjaan yang sesuai serta memberi bantuan keperluan persekolahan anak-anak mereka,” katanya.

Advertisement