Anda di sini

Beban kos sara hidup mula dirasai

Advertisement

MIRI: Golongan berpendapatan rendah dan sederhana mula dibebani dengan kos sara hidup yang semakin meningkat berikutan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata, ia adalah kesan daripada pengurangan subsidi kerajaan ke atas barangan keperluan rakyat dan cukai perkhidmatan.

“Golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana kini mulai berasa kesan daripada kenaikan harga barang, ditambah pula dengan tindakan peniaga menaikkan harga barang sesuka hati,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu, sebagai contohnya harga perkhidmatan parkir di Hospital Umum Sarawak (HUS) telah naik daripada RM5 kepada RM6.35 dan ini amat membebankan rakyat.

“Harga perkhidmatan ini terlalu mahal berbanding harga mendapatkan rawatan di HUS dan kebanyakan pelawat tidak berpuas hati dengan kenaikan perkhidmatan parkir itu,” katanya.

Wan Zain menjelaskan, golongan berpendapatan rendah dan sederhana sudah pasti menghadapi tekanan akibat kos sara hidup semakin bertambah setiap tahun.

“Harga barang semakin naik sedangkan pendapatan keluarga masih di tahap rendah, terutama bagi mereka yang bekerja di sektor swasta dan jarang menerima kenaikan gaji,” ujarnya.

Beliau memberitahu, penjimatan yang diumumkan kerajaan dalam sektor awam tidak dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat ketika ini.

“Selepas sahaja pengurangan subsidi diumumkan, semua pihak bertindak menaikkan harga barang dan perkhidmatan tanpa memikirkan beban yang ditanggung rakyat.

“Ada yang menaikkan harga perkhidmatan pengangkutan bas sekolah, harga parkir, harga barang keperluan harian dan pelbagai lagi,” katanya.

Apa yang penting, kerajaan harus meneliti kepentingan rakyat di peringkat akar umbi sebelum membuat keputusan yang boleh mengubah kehidupan rakyat keseluruhannya.

Advertisement