Anda di sini

Banjir di Baram semakin surut

Advertisement

MARUDI: Banjir yang melanda daerah Baram sejak pertengahan bulan lepas sudah mulai surut sepenuhnya kelmarin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengadakan lawatan menyeluruh ke kawasan yang teruk dilanda banjir sebelum ini memberitahu, walaupun banjir sudah surut tetapi kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi bantuan segera, seminggu selepas banjir surut.

Menurut beliau, ini kerana walaupun mangsa banjir dipindahkan ke tempat selamat tetapi dari segi perhubungan, mereka masih lagi terputus, khususnya penduduk yang tinggal di tebing Sungai Baram.

Pada masa yang sama katanya, JKM, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pejabat Residen dan Pejabat Daerah serta agensi kerajaan terlibat, sentiasa melakukan pemantauan bagi melihat situasi banjir, sekali dalam setiap empat jam.

“Walaupun air sudah surut tetapi kita perlu bersedia menyelesaikan pelbagai masalah yang akan dihadapi termasuk bantuan makanan yang akan diagih kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya kepada pemberita di sini.

Shahidan turut mengadakan lawatan bertemu lebih 2,000 mangsa banjir dari rumah panjang 170 pintu di Long Panai Uma Beluvo, dalam kawasan Tutoh.

Beliau turut melawat mangsa banjir di Kampung Benawa iaitu perkampungan kaum Kiput-Muslim yang membabitkan lebih 300 penduduk serta pelajar dan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Benawa.

Ketika lawatannya itu, SK Benawa serta kawasan sekitarnya masih dilanda banjir sedalam tiga kaki.

Shahidan turut melawat dan meninjau keadaan mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tutoh Apoh yang membabitkan seramai 16 guru dan 150 pelajar.

“Guru dan pelajar sekolah ini (SMK Tutoh Apoh) akan dipindahkan ke bangunan yang baharu, yang terletak di kawasan tanah lebih tinggi, kemungkinan pada bulan Jun atau Ogos tahun ini,” jelasnya.

Sempena lawatan beliau ke Kampung Benawa, Shahidan telah menyampaikan sumbangan peribadinya kepada mangsa banjir berjumlah RM2,350 untuk 47 keluarga yang tinggal di situ.

Sementara di Long Panai, sumbangan peribadi beliau telah disampaikan kepada isteri Ketua Kaum Long Panai.

Turut hadir mengiringi lawatan beliau ke Baram ialah Timbalan Residen Miri (Pembangunan) Abdul Aziz Mohd Yusof, para pegawai JKM Marudi serta beberapa pemimpin masyarakat setempat.

Advertisement