Anda di sini

Wanita PBB akan fokuskan gerak kerja tahun ini: Nancy

Advertisement

KUCHING: Sayap Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menjadikan keberkesanan gerak kerja sebagai fokus untuk tahun ini agar PBB terus menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) paling diteladani di negara ini.

Setiausaha Pergerakan Wanita PBB Nancy Shukri berkata, pendekatan yang diambil perlu mengambil kira usaha yang dapat menarik minat golongan anak muda bagi membolehkan parti itu terus menyerlah.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, ia penting kerana penyertaan anak muda dalam parti dapat mendedahkan mereka dengan gambaran sebenar corak politik pada masa ini, sekali gus membolehkan mereka bersama-sama mencari jalan memperkasakan PBB.

“Saya percaya dengan kehadiran lebih ramai pemimpin- pemimpin muda maka corak kepimpinan kita akan lebih menyerlah dan akan menjadi lebih relevan sesuai dengan kehendak suasana politik masa kini.

“Gunakanlah kemahiran ahli-ahli untuk berinteraksi melalui media sosial dengan masyarakat di luar sana,” katanya pada Mesyuarat Pertama Majlis Tertinggi Wanita PBB selepas Perhimpunan Agung PBB Ke-13 Oktober tahun lalu di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako, Kuching kelmarin.

Nancy menjelaskan, antara penambahbaikan yang diumumkan ialah penyusunan semula biro-biro sedia ada termasuk Biro Komunikasi dan Multimedia yang dipengerusikan oleh Livan Tajang (Ketua Wanita PBB Belaga).

Selain itu, katanya, Biro Pembangunan Ekonomi dipengerusikan oleh Datuk Seri Rohani Abdul Karim (Naib Ketua Wanita PBB), Biro Kebajikan dan Pendidikan yang dipengerusikan oleh Datuk Fatimah Abdullah (Timbalan Ketua Wanita PBB), manakala Biro Politik yang dipengerusikan oleh Rubiah Wang (Ahli Parlimen Kota Samarahan) juga ditambah baik.

“Penambahbaikan turut membabitkan pelantikan dua pengerusi yang akan mengawal selia hal ehwal berkaitan agama Islam dan bukan Islam dalam Biro Agama yang dibarisi Yang Berhormat (ADUN Lingga) Simoi Peri dan Puan Esther Balan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, bagi memastikan kelancaran gerak kerja kesemua biro itu, mesyuarat berkenaan sebulat suara melantik Ketua Pergerakan Wanita, Dato Sri Empiang Jabu sebagai Penasihat.

Beliau memberitahu, PBB terus menerima maklum balas positif yang memuji corak politik harmoni diamalkan oleh parti tersebut yang terdiri daripada pelbagai kaum bumiputera di Sarawak.

“Ini adalah hasil pucuk kepimpinan pemimpin terdahulu yang telah menerajui negeri ini dengan adil, telus dan liberal.

“Oleh itu, penting untuk kita meneruskan kesinambungan itu dan sentiasa menggambarkan Wanita PBB bersikap terbuka dan bersedia membawa penambahbaikan kepada cara kita berpolitik,” katanya lagi.

Advertisement