Anda di sini

UMNO Selangor larang anggota himpun di gereja

Advertisement

Elak salah tafsir rakyat berhubung isu kalimah ‘Allah’

SHAH ALAM: UMNO Selangor melarang mana-mana anggotanya serta meminta badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam di negeri itu supaya tidak meneruskan rancangan mengadakan himpunan bagi membantah penggunaan kalimah ‘Allah’ di hadapan gereja, hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata langkah itu bagi mengelak salah tafsir dalam kalangan rakyat berhubung isu berkenaan selain memastikan keharmonian kebebasan beragama di Selangor terus terpelihara.

“Dalam kita memperjuangkan isu kalimah ‘Allah’, kita minta jangan adakan himpunan ataupun bantahan di depan gereja sebab ia boleh menggugat keharmonian kebebasan beragama di Selangor,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO, di sini semalam.

Sebelum ini beberapa cawangan UMNO dan NGO Islam di negeri itu merancang untuk mengadakan perhimpunan di hadapan gereja-gereja di negeri itu hari ini sebagai membantah kenyataan Pengarang Mingguan The Herald, Paderi Lawrence Andrew berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’.

Pada 27 Dis lepas, Lawrence menerusi The Malaysian Insider berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan bahasa Malaysia walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam.

Perhimpunan itu juga bertujuan mendesak paderi itu menarik balik kenyataannya dan meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam setelah turut disifatkan biadab dan berunsur penderhakaan kepada Sultan Selangor.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menitahkan semua rakyat, khasnya di Selangor, tanpa mengira kaum dan latar belakang agar akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam seperti yang tertakluk mengikut peruntukan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Dalam pada itu, Noh berkata UMNO Selangor menyokong penuh tindakan JAIS merampas lebih 300 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengandungi kalimah ‘Allah’ dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya Khamis lepas.

Kehangatan berhubung isu kalimah ‘Allah’ turut mendorong 50 wakil dua NGO mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan sebuah pangsapuri di Klang Jaya semalam.

NGO yang diwakili Gerakan Belia 4B Kota Raja dan Persatuan Penduduk Pangsapuri Klang Jaya itu menuntut paderi berkenaan menerima keputusan mahkamahberhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ selain meminta JAIS menangani isu itusegera sebelum keadaan menjadi bertambah keruh. – Bernama

Sementara itu, Presiden Jalur Tiga Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata tindakan Jais merampas kitab Bible Bahasa Melayu dan Iban yang mengandungikalimah ‘Allah’ bertepatan dengan tugas asasinya sebagai badan penguat kuasa enakmen di Selangor.

Hasan, yang juga bekas timbalan pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu berkata semua pihak harus sedar bahawa JAIS merupakan badan penguat kuasaundang-undang dan peraturan yang telah dilembagakan demi menjaga nama baik keluhuran dan kesucian agama Islam.

“Persoalan sama ada JAIS ada hak atau tidak, tidak timbul kerana memang (tindakannya) dibuat berlandaskan kepada enakmen daripada kerajaan negeri, fatwa yang dikemukakan dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau kita kata JAIS tak ada hak rampas, serbu dan sebagainya, badan mana lagi nak diserahkan tanggungjawab ini?” katanya pada sidang media di sini semalam.

Mengulas tentang kenyataan Paderi Lawrence Andrew bulan lepas bahawa gereja Katolik di Selangor harus dibenarkan menggunakan kalimah ‘Allah’ dan bahasa Melayudalam perhimpunan mingguan mereka, Hasan berkata tindakan itu boleh mengakibatkan implikasi buruk.

“Akibat langsung daripada tindakan beliau sudah mula dapat dirasai. Bahang kemarahan dan penentangan tindakan paderi tersebut sudah menjalar ke seluruh negara dengan terdapatnya laporan-laporan polis yang dibuat serta rancanganmengadakan demonstrasi besar-besaran bagi menyanggah tindakan paderi tersebut,”katanya. — Bernama

Advertisement