Anda di sini

Syarat, terma pengambilan anggota RELA perlu diteliti, diperketatkan: Wan Junaidi

Advertisement

TUMPUAN MEDIA: Wan Junaidi ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Bantuan Kecemasan kepada 37 penerima dan 21 badan bukan kerajaan di Kuching, semalam.

KUCHING: Syarat dan terma pengambilan anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) perlu diteliti semula dan diperketatkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, penapisan perlu dibuat dalam proses pelantikan bagi memastikan anggota RELA yang dilantik mampu menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

“Mungkin kita akan mengubah cara penerimaan anggota RELA pada masa hadapan. Apabila saya balik (ke Putrajaya) minggu depan, saya akan bincang dengan kementerian, mungkin penapisan perlu dibuat pada pelantikan anggota RELA.

“Kita mahu tempat-tempat yang dikawal pihak RELA ini terjamin keselamatan, jangan jadi harapankan pagar, pagar makan padi macam apa yang berlaku ke atas rumah saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Bantuan Kecemasan kepada 37 penerima dan 21 badan bukan kerajaan berjumlah RM76,680 di sini, semalam.

Polis pada Jumaat lepas berjaya menangkap tiga individu yang dipercayai cuba memecah masuk kediaman peribadi Wan Junaidi yang pada waktu kejadian berada di luar negara.

Dua daripada suspek ditahan polis di Matang yang kemudian membawa kepada penangkapan lelaki ketiga berusia 44 tahun di Maludam yang dipercayai dalang insiden itu.

Dua daripada suspek terbabit yang difahamkan adalah anggota RELA ditahan reman sementara siasatan lanjut berhubung kejadian itu dijalankan.

Sambil melahirkan kekecewaan, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, beliau tidak boleh menyalahkan sesebuah organisasi memandangkan RELA adalah berkonsepkan sukarelawan rakyat.

Katanya, kerajaan akan terus memberi peluang kepada rakyat yang mahu berkhidmat secara sukarela dengan harapan mereka jujur dan amanah.

“Pengalaman mengajar kita, mungkin ada modul berlainan akan diwujudkan berkenaan pelantikan anggota RELA,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi turut mengucapkan syabas kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas ketangkasan dan keberkesanan dalam melakukan siasatan kes tersebut.

“Saya biar polis membuat keputusan apa sahaja tindakan pihak polis dan saya melihat, ini adalah satu kejayaan polis mengesan pihak yang mahu melakukan kejadian jenayah,” katanya.

Menurutnya, sepanjang 20 tahun tinggal di Jalan Green, kediamannya tidak pernah dimasuki pencuri malah sebelum anggota keselamatan ditempatkan di situ.

Katanya lagi, beliau telah menamatkan perkhidmatan RELA di kawasan kediamannya dan tugas menjaga keselamatan itu kini diambil alih oleh polis.

Pada 24 Disember lalu kira-kira jam 3.15 pagi, dua individu cuba memecah masuk ke kediaman peribadi Wan Junaidi, namun ia dapat dikesan melalui sistem penggera keselamatan dan disedari anggota PDRM dan RELA yang bertugas mengawal keselamatan di hadapan rumahnya.

Tindakan pantas anggota PDRM yang bertugas telah berjaya menakutkan penceroboh dan kedua-dua individu tersebut telah melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal tanpa sempat masuk ke dalam rumah timbalan menteri itu.

Hasil pemeriksaan mendapati dua penceroboh telah memasuki kawasan kediaman beliau melalui pagar belakang rumah yang telah diumpil.

Tiada kecederaan serta kehilangan harta benda berlaku.

Pihak PDRM juga percaya penjenayah tersebut tidak mengetahui bahawa sasaran mereka adalah rumah milik peribadi Wan Junaidi.

Advertisement