Anda di sini

Sisa kayu balak jejas laluan air

Advertisement

PERLU TINDAKAN SEGERA: Sijih (kanan) bersama Mikai (kiri) di atas timbunan sisa kayu yang menghalang pergerakan pengankutan air di Sungai Meripis.

Penduduk rumah panjang di sekitar Sungai Meripis hampir terputus hubungan

SIBU: Timbunan sisa kayu balak memenuhi Sungai Meripis di sini sejak beberapa hari lalu sehingga menye-babkannya tidak dapat dilalui oleh semua jenis pengangkutan air.

Kehadiran sisa-sisa kayu berkenaan boleh dilihat sepanjang setengah kilometer sungai berkenaan.

Tuai Rumah Sijih Jandah ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya telah membuat laporan mengenai kejadian itu kepada pihak berkuasa.

“Apakah tindakan selanjutnya oleh pihak berkenaan, saya bagaimanapun tidak begitu pasti.

“Kehadiran sisa-sisa kayu ini menyebabkan kami yang bergantung kepada pengangkutan air hampir terputus hubungan,” ujarnya.

Selain penduduk dari rumah panjang beliau, penghuni Rumah Untat dan Rumah Angkah turut mengalami nasib sama.

Sijih mendakwa, kehadiran sisa-sisa berkenaan dipercayai datang dari kawasan hulu sungai terbabit.

“Ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti hujan lebat tanpa henti di hulu sungai serta penerokaan hutan disebabkan aktiviti pembalakan dan pertanian,” katanya.

Namun demikian, Sijih berkata beliau berasa sedikit lega kerana bekalan makanan untuk murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Meripis, Kapit dapat dibawa melalui jalan lain.

“Jikalau tidak, besar kemungkinan sekolah berkenaan akan mengalami terputus bekalan makanan,” katanya.

Sehubungan itu, seorang penduduk tempatan Mikai Bujo berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera.

“Ini kerana kehadiran sisa kayu berkenaan sedikit sebanyak memberikan kesan negatif terhadap pergerakan kami selain mengancam kehidupan laut,” katanya.

Advertisement