Anda di sini

Penerbangan terus Shenzhen-Kuching dirancang

Advertisement

ULANG TAHUN: Tun Salahuddin meniup lilin pada kek sebagai simbolik ulang tahun ke-40 kejayaan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, khasnya Sarawak.

Abang Johari berazam untuk menarik lebih ramai pelancong China ke Sarawak pada tahun 2014KUCHING: Sarawak merancang untuk memperkenalkan penerbangan terus dari Shenzhen, China ke Kuching bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan antara kedua-dua negara.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, cadangan itu telah diutarakan kepada Konsul Jeneral China di Kuching dan beliau akan bekerjasama dengan Malaysia Airlines bagi merealisasikan perkara terbabit.

“Hubungan diplomatik antara Malaysia dan China telah terjalin selama 40 tahun dan menghasilkan banyak kegiatan sosial dan ekonomi yang menguntungkan kedua-dua pihak, lebih-lebih lagi Sarawak.

“Dari segi pelancongan, saya akan cuba yang terbaik untuk menarik pelancong dari China ke Sarawak pada tahun 2014 dengan mendapatkan penerbangan terus dari pusat pelancongan utama di China seperti Shenzhen dan destinasi-destinasi lain ke Kuching,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Peniaga Eksport dan Import Kuching-China di Christian Ecumenical Center di sini, malam kelmarin.

Majlis tersebut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah, Penasihat Kehormat Persatuan Tan Sri Datuk Yee Ming Seng, Presiden Persatuan Yii Ming Tang, Konsul Jeneral China di Kuching Liu Quan serta yang lain.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memastikan pembangunan yang seimbang antara semua komuniti termasuk komuniti Cina.

Malah, dengan polisi yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau yakin Sarawak akan menikmati sebahagian daripada jumlah pelaburan yang dipersetujui antara Presiden Republik Rakyat China dan Malaysia.

“Hubungan antara Malaysia dan China telah bermula sejak zaman Laksamana Cheng Ho dan bertambah erat dengan lawatan antara kedua-dua pemimpin negara serta baru-baru ini, Malaysia menerima kunjungan daripada Presiden Republik Rakyat China.

“Malah, apabila Najib dilantik sebagai Perdana Menteri, China merupakan negara pertama yang dikunjungi oleh beliau sekali gus menunjukkan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara,” ujarnya.

Jelas Abang Johari lagi, China telah diiktiraf sebagai kuasa ekonomi kedua selepas Amerika Syarikat dan diramal memintas negara itu di tempat utama dunia pada masa hadapan.

Oleh sebab itu, katanya, hubungan baik antara Malaysia dan China perlu dijalinkan kerana China merupakan antara negara yang membangun dengan pesat di dunia.

Bercakap mengenai majlis itu, Abang Johari berkata, ia merupakan titik peristiwa yang penting bukan sahaja bagi pihak yang terlibat dalam usaha meraikan kejayaan hubungan berkenaan, malah merapatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, lebih-lebih lagi Sarawak.

“Kejayaan perhubungan diplomatik antara China dan Malaysia telah terjalin selama 40 tahun dan saya ingin mengucapkan syabas kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan majlis ini bagi meraikan kejayaan ini,” kata Abang Johari.

Advertisement