Anda di sini

Nelayan Kampung Luak dan Lusut bimbang pangkalan perahu terhakis

Advertisement

HAKISAN OMBAK: Wahid, Jamali (satu, dua kanan) bersama nelayan dan penduduk menunjukkan lantai bangsal runtuh akibat hakisan ombak di Kampung Luak, Miri semalam.

MIRI: Nelayan-nelayan di Kampung Luak dan Lusut bimbang kawasan pangkalan perahu mereka terus terhakis dan runtuh sekiranya tiada benteng pemecah ombak dibina untuk melindungi kawasan tersebut.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati, sebahagian lantai konkrit salah sebuah bangsal perahu runtuh akibat hakisan ombak berlanjutan khasnya pada musim tengkujuh dan air pasang besar.

Pukulan ombak besar terkini di pesisir pantai Luak ialah ketika air pasang besar pada tengah malam kel-marin.

Nelayan, Wahid Mampi Abdullah, 54, berkata benteng harus segera dibina      untuk mengelak kerosakan dan hakisan pantai lebih serius.

“Saya minta pihak kerajaan membina segera benteng di kawasan ini. Kita berdepan dengan masalah hakisan setiap kali ombak besar,” katanya.

Menurutnya, masalah itu juga pernah dirujuk dan dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) serta wakil-wakil rakyat.

Beliau memberitahu, pangkalan nelayan itu dibina sejak awal 90-an untuk kemudahan nelayan di Kampung Luak dan Lusut.

Kawasan pangkalan itu memiliki dua bangsal menyimpan sebanyak 41 perahu termasuk peralatan menangkap ikan seperti jala yang digunakan oleh kira-kira 50 orang nelayan.

“Dahulu kami boleh meletakkan perahu kami di tepi pantai iaitu 100 kaki dari bangsal. Ombak besar telah menghakis kawasan berkenaan,” jelas Wahid.

Selain benteng, mereka turut minta kerjasama kerajaan membina laluan konkrit dari bangsal ke pantai untuk memudahkan nelayan menarik dan menurunkan perahu ke laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Miri, Kaunselor Jamali Basri meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin mengambil perhatian dan meninjau dilema dan masalah yang dialami nelayan di Luak dan Lusut.

“Kita minta kerajaan dapat membina benteng pemecah ombak untuk mengelak kawasan pangkalan ini roboh. Saya percaya kerajaan Ba-risan Nasional (BN) boleh membantu kita kerana ne-layan-nelayan di sini adalah penyokong kuat BN,” jelasnya.

Jamali berkata, kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membantu mengatasi masalah berkenaan.

Advertisement