Anda di sini

Murah faktor rokok haram terus jadi pilihan perokok

Advertisement

KUCHING: Harga yang jauh lebih murah antara faktor mengapa rokok haram atau seludup terus menjadi pilihan pembeli khususnya dalam kalangan perokok tegar.

Meskipun menyedari membeli rokok haram juga merupakan satu kesalahan, namun ia tidak dapat dielakkan kerana rokok dijual pada harga yang terlalu tinggi bagi pasaran sah.

Rata-rata perokok yang ditemui semalam berkata rokok haram atau seludup tidak hanya dibeli oleh golongan yang kurang berkemampuan.

Malah, kata mereka, terdapat juga perokok dari kalangan golongan berada yang membeli dan menghisap rokok haram yang diseludup atas faktor-faktor lain.

“Kami sedar bahawa membeli rokok haram itu juga merupakan satu kesalahan sama seperti kita menjualnya.

“Tetapi mengapa mesti membayar harga yang tinggi jika benda yang sama boleh didapati pada harga yang murah.

“Paling mahal pun dalam RM3.50 bagi sekotak rokok yang mengandungi 20 batang malah ada yang dijual pada harga RM1.60.

“Jika kita membeli rokok di pasaran sah ada yang mencecah lebih daripada RM10 sekotak bayangkan sebulan berapa banyak wang yang dibelanjakan untuk rokok sahaja,” kata salah seorang daripada perokok yang ditemui semalam.

Menurut salah seorang lagi perokok yang ditemui, pasaran rokok haram atau yang diseludup agak mudah didapati di sekitar bandar raya ini terutama di kedai-kedai kecil tetapi ia dijual secara sembunyi.

“Mereka yang menjual rokok-rokok haram serta seludup ini tidak menjual secara terbuka dan hanya menjual kepada pelanggan-pelanggan yang dikenali sahaja.

“Sama seperti penjual, kami yang membeli rokok seludup ini juga perlu berhati-hati dan tidak menayangkan kotak-kotak rokok secara terbuka bagi mengelak daripada ditangkap oleh pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Borneo.

Dalam pada itu, di bawah undang-undang baharu yang akan berkuasa Rabu depan, pembeli rokok haram boleh didenda dan dipenjara jika disabitkan kesalahan.

Pindaan ke atas Control of Tobacco Product Regulations 2004 di bawah Akta Makanan 1963 menyatakan bahawa rokok tanpa gambar serta amaran kesihatan daripada kerajaan bukan sahaja tidak sah untuk dijual malah tidak sah untuk dibeli.

Di bawah pindaan yang diwartakan pada Jun lepas itu, pembeli sama seperti penjual berdepan denda maksimum RM10,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Advertisement