Anda di sini

Kerajaan usaha ringan beban rakyat

Advertisement

Rakyat tidak harus terbawa-bawa dengan isu kenaikan harga barang

LIMBANG: Rakyat diingatkan agar tidak terbawa-bawa dengan isu kenaikan harga barang yang dimainkan pihak tidak bertanggungjawab kerana kerajaan sentiasa berusaha membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kenaikan harga barang-an bukan berpunca daripada kerajaan sebaliknya dikawal oleh para peniaga yang mengambil kesempatan di atas kenaikan harga dan pengurangan subsidi.

Jelas beliau, tindakan sesetengah peniaga cuba ‘menanguk di air keruh’ dengan mengaut keuntungan berlebihan hanya akan menyebabkan kemarahan rakyat semakin memuncak.

“Jangan salahkan kerajaan atas kenaikan harga barang khususnya pada 2014 ini kerana harga barangan dikawal sepenuhnya oleh peniaga. Malah, kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat termasuk meneruskan BRIM 3.0, bantuan persekolahan, kebajikan dan pelbagai bantuan,” katanya ketika mengulas isu kenaikan harga 2014 di sini semalam.

Dr Rahman berkata, agensi kerajaan berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu sentiasa turun padang memantau kenaikan harga secara melampau.

“Kita minta KPDKKK mengadakan pemantauan secara berterusan mengawal kenaikan harga dan mengambil tindakan sewajarnya kepada peniaga yang menaikkan harga barang sesuka hati dan tidak masuk akal,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, kerajaan terus menjalankan program penerangan bagi menjelaskan isu kenaikan harga barang yang menimbulkan keresahan kalangan rakyat di negara ini.

Katanya, penting bagi menidakkan dakwaan bahawa kerajaan tidak ambil kisah mengenai beban ditanggung rakyat berikutan kenaikan harga barang-barang keperluan.

Beliau juga mahu pembangkang agar tidak memperbesar isu kenaikan harga barang sehingga menidakkan usaha kerajaan yang banyak membantu rakyat selama ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan kelmarin menjelaskan 10 pakej bantuan untuk rakyat disediakan kerajaan bagi membantu mereka menangani kenaikan kos pada masa kini dan akan datang.

Sepuluh pakej bantuan itu termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), subsidi enam jenis bahan asasi, bantuan kepada pesawah, nelayan, pesawit dan penoreh getah, pengurangan pemotongan cukai pendapatan, subsidi kesihatan, bantuan pendidikan, projek perumahan mampu milik, bantuan penduduk miskin, dana untuk pembangunan usahawan serta kenaikan gaji dan bonus kepada penjawat awam.

Advertisement