Anda di sini

Kebersihan, keceriaan kawasan perumahan tanggungjawab semua

Advertisement

SELESAI: Ahli Jawatankuasa KRT Taman Desa Indah Sri Aman bersama pada program berkenaan semalam.

SRI AMAN: Kebersihan dan keceriaan sesebuah kawasan perumahan bukan hanya tanggungjawab sesebuah pihak, sebaliknya adalah tanggungjawab semua penduduk yang tinggal di taman perumahan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Penaja Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Indah Sri Aman, Wan Jaya Wan Alex berkata penganjuran program gotong-royong mampu memberi kesedaran kepada masyarakat agar sentiasa menjaga kebersihan persekitaran masing-masing.

“Justeru itu, kesedaran itu harus dipupuk dari semasa ke semasa dan bukan hanya melibatkan program anjuran KRT malah agensi-agensi lain,” katanya pada Program Senamrobik dan Gotong-Royong anjuran Jawatankuasa Penaja KRT Taman Desa Indah, di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar semua ahli jawatankuasa penaja KRT termasuk Jawatankuasa Jiran Muda, Jiran Wanita serta Tunas Jiran terlibat pada program seperti ini.

Menurutnya, penglibatan jawatankuasa ini adalah tunjang kepada kejayaan program yang dianjurkan pada masa depan.

Katanya, pihaknya juga bercadang menganjurkan program serupa pada masa depan dengan melibatkan pelbagai pihak lain.

“Program senamrobik dan gotong-royong ini merupakan program pertama tahun ini dan sebagai landasan menganjurkan program lebih besar pada masa akan datang,” jelasnya.

Hadir sama guru-guru tabika Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman.

Program Senamrobik dan Gotong-Royong bermula jam 7.30 pagi dan berakhir sekitar jam 10 pagi disertai kira-kira 100 orang ahli KRT berkenaan.

Advertisement