Anda di sini

Darby diyakini mampu julang skuad Kelantan

Advertisement

KOTA BAHARU: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yakin kehadiran bekas jurulatih Perak, Steve Darby mampu melonjakkan prestasi skuad ‘The Red Warriors’ bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2014.

Beliau berkata Darby memerlukan lebih banyak perlawanan persahabatan bagi membentuk kombinasi terbaik antara pemain.

“Jurulatih baharu nak kenal pemain jadi saya fikir kita beri peluang dahulu kepada Steve (Darby) untuk mengenali pemainnya dan saya nampak sekarang dia lebih bersedia,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Ditanya mengenai prestasi hambar Kelantan dalam beberapa perlawanan persahabatan, Annuar berpendapat Kelantan belum menurunkan barisan terkuat pada perlawanan persahabatan sebelum ini.

“Kelantan masih belum menurunkan skuad utama kita kerana semua pemain import diberi cuti dan mereka tidak pernah beraksi lagi sehingga sekarang.

“Dua minggu terakhir ini amat penting bagi Kelantan untuk memantapkan keserasian pemain, Oleh itu saya difahamkan beberapa perlawanan persahabatan diaturkan dengan Perlis dan sebuah kelab dari Thailand untuk memastikan Kelantan bersedia untuk perlawanan pertama liga,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau yakin kehadiran beberapa pemain import berkualiti mampu memperkuatkan jentera pasukan berkenaan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2014.

“Kombinasi Mohammad Shawky, Mohammad Ghaddar dan Francis Forkey Doe adalah membentuk tulang belakang pasukan untuk musim ini,” katanya. — Bernama

Advertisement