Anda di sini

Bola sepak mampu satukan masyarakat: Muhyiddin

Advertisement

Sokongan terhadap pasukan negara tanpa mengira bangsa pemain mampu mengukuhkan perpaduan

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata bola sepak adalah sukan yang mempunyai banyak nilai sosial serta mampu menyatukan masyarakat, termasuk rakyat Malaysia.

Ketika menganjurkan agar nilai berkenaan sentiasa dihayati, Muhyiddin berkata beliau yakin bola sepak serta sukan lain, boleh memainkan peranan penting, bukan sahaja untuk memajukan diri seseorang, tetapi juga mempunyai kesan berganda dalam membentuk dan menyatupadukan sesebuah negara.

“Apabila kita berbicara tentang bola sepak atau menontonnya, semua sempadan terhapus dengan sendirinya kerana kita memberi fokus kepada perkara yang kita sama-sama minati. Seperti sukan lain, bola sepak juga tidak mengenal warna.

Bersukan bersama rakan-rakan daripada kaum lain boleh membantu menyatupadukan manusia daripada keturunan dan warna kulit berbeza.

“Sebab itulah, menyokong sesebuah pasukan negara, tanpa mengira bangsa pemainnya, boleh mengukuhkan perpaduan nasional,” kata beliau ketika merasmikan penjelajahan Trofi Piala Dunia FIFA di Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Simbol paling ikonik dunia bola sepak, Trofi Piala Dunia FIFA, tiba di negara ini kelmarin sebagai sebahagian daripada siri penjelajahannya selama sembilan bulan ke 88 negara.

Piala yang dibawa ke Malaysia dengan kerjasama Coca Cola ini akan dipamer kepada orang ramai di Dewan Tun Hussein Onn 1, PWTC hari ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Mengulas tentang Piala Dunia, Muhyiddin berkata rakyat Malaysia daripada semua kaum amat meminati bola sepak.

“Ketika berlangsungnya kejohanan Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan, lebih 15 juta rakyat negara ini menontonnya melalui televisyen dan angka ini meletakkan Malaysia dalam kalangan pasaran tertinggi di Asia yang mempunyai akses kepada liputan kejohanan itu,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau berharap kehadiran Trofi Piala Dunia ini di Malaysia akan memberi ilham kepada rakyat negara ini untuk terus berusaha ke arah kecemerlangan dan mendorong mereka berusaha untuk mencapai kejayaan lebih besar.

Menurut beliau bukan menjadi rahsia lagi bahawa kebanyakan peminat bola sepak di negara ini kecewa apabila pasukan kebangsaan gagal meraih kejayaan dalam kejohanan antarabangsa dan berikutan itu, memilih pasukan lain sebagai pasukan kegemaran mereka.

“Marilah kita berganding bahu untuk meningkatkan kecemerlangan kita agar kita juga berpeluang memenangi trofi. Saya yakin trofi ini boleh dimenangi dan ia mestilah dimenangi untuk Malaysia oleh rakyat Malaysia sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin menggesa bakat baharu dan pasukan Harimau Malaya supaya bercita-cita tinggi agar Malaysia mampu menjadi kuasa bola sepak yang hebat.

“Manalah tahu, daripada kalangan kita yang melihat trofi ini hujung minggu ini, terdapat seorang anak muda yang mendapat ilham daripada acara bersejarah ini untuk menerajui pasukan kebangsaan kita melayakkan diri bermain dalam Piala Dunia FIFA untuk julung kalinya nanti,” kata beliau.

Muhyiddin berkata untuk meningkatkan kualiti permainan bola sepak di Malaysia, Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara 2014-2020 akan dikemukakan kepada Kabinet tidak lama lagi.

Pelan berkenaan, kata beliau, akan memberi fokus terhadap aspek kemajuan bola sepak di negara ini dan bertujuan mengasuh pemain berusia tujuh hingga 17 tahun.

“Sesuatu yang amat membanggakan ialah pelan ini akan memberi fokus terhadap usaha memupuk DNA bola sepak kita, termasuk pembinaan jati diri dan kekuatan mental pemain sejak muda lagi,” katanya.

Muhyiddin juga berharap lebih banyak entiti swasta tampil untuk menjayakan agenda pembangunan bola sepak serta menjadikannya sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka.

“Sebagai contoh, mereka boleh memainkan peranan penting dalam membantu menyediakan atau menambah baik kemudahan permainan bola sepak di kawasan paling tertinggal di negara ini,” katanya. — Bernama

Advertisement