Anda di sini

Bendung aktiviti persiaran haram

Advertisement

Kegiatan jejas operasi ejen berlesen dan imej industri pelanconganKUCHING: Tindakan pihak tidak bertanggungjawab dan mereka yang menjalankan aktiviti persiaran secara haram atau dikenali ‘ulat’ harus dibendung bersama bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) di Sarawak.

Pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Sarawak, Dayang Azizah Abang Zaidan berkata aktiviti itu bukan sahaja menjejaskan operasi ejen pelancongan berlesen tetapi menjejaskan nama baik mereka yang sah berdaftar.

“Pelancong yang memilih mereka yang tidak berlesen ini, mereka tidak dilindungi insurans sekiranya apa-apa berlaku.

“Namun, kadang kala jika perkara ini berlaku malangnya nama agensi atau ejen yang sah turut terjejas. Ini yang kita tidak mahu dalam sektor pelancongan pada TMM tahun ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dayang Azizah tidak menafikan pihak berkuasa berkaitan turut menjalankan penguatkuasaan dan rampasan, bagaimanapun ia tidak harus bergantung sepenuhnya kepada mereka melainkan bantuan pihak terbabit termasuk pemain industri pelancongan.

“Kita mohon kepada pemain-pemain industri supaya bersama memainkan peranan dengan melaporkan perkara berkenaan sekiranya terdapat aktiviti sedemikian kerana jika dibiarkan akan lebih berleluasa,” tegasnya.

Beliau berharap para pelancong yang datang ke Sarawak tidak akan tersalah pihak untuk menjalankan lawatan mereka ke negeri ini.

Dayang Azizah menegaskan dari segi infrastruktur yang ditawarkan oleh industri pelancongan terdapat sedikit kemudahan yang perlu dinaik taraf.

Mengulas lanjut mengenai persediaan MATTA menyambut TMM ini, beliau berkata: “Sarawak sememangnya sudah bersedia sejak awal lagi malah ada antara pakej atau aktiviti dijalankan sejak Disember lalu.

“Malah, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) kini sedang bekerjsama dengan pemain industri pelancongan lain dalam mewujudkan pakej baharu yang bukan biasa di pasaran dengan harga menarik.

“Promosi TMM di negeri ini sebenarnya telah dimuktamadkan pada Disember tahun lalu dan sekarang kita cuma menunggu promosi secara besar-besaran bagi merancakkan kempen ini,” kata beliau.

Dayang Azizah memberitahu, sehingga kini lebih 180 syarikat atau ejen pelancongan di bawah MATTA Cawangan Sarawak dan pada tahun lalu mereka mencatatkan kedatangan pelawat memberangsangkan.

“Kita berharap tahun ini kita mencatatkan lebih ramai kedatangan pelawat kerana Sarawak mempunyai banyak produk menarik ditawarkan, dan hanya terpulang kepada kita cara memasar dan menguruskannya,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Inap Desa Rumah Nyuka di Lubok Lemba, Sarikei Ikau Aji ketika dihubungi berkata pihaknya teruja menyertai kempen TMM 2014 yang dipercayai akan membawa lebih ramai pelawat ke negeri ini.

Beliau berharap melalui TMM, pihak bertanggungjawab tidak melupakan pengusaha inap desa seperti mereka membawa pelancong datang melawat ke Sarawak sempena TMM.

“Bagi kami, TMM amat baik dan kami amat menyokong inisiatif kerajaan kerana merasakan ia akan membantu kami menjana pendapatan.

“Selama ini sememangnya kami mencari pelawat kami sendiri namun dengan adanya TMM pastinya menggalakkan kedatangan pelancong ke inap desa,” ujarnya.

Ikau memberitahu, dari segi kemudahan inap desa di kampung mereka semuanya sudah sedia ada memandangkan mereka telah beroperasi sejak empat tahun lalu.

“Pada tahun lalu, kami menerima hampir 2,000 pelawat ke rumah berkenaan dan berharap tahun ini lebih ramai melalui TMM,” katanya.

Advertisement