Anda di sini

Bekas Polis Hutan digesa daftar dengan persatuan

Advertisement

TAMPIL MENDAFTAR: Aba (dua kiri) bersama (dari kiri) Madehi, Santokh dan Leong pada sidang media di pejabat Kumpulan See Hua di Kuching, semalam.

KUCHING: Bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) yang berkhidmat terutama semasa darurat digesa tampil mendaftar dengan Persatuan Bekas Pasukan Polis Hutan (PBPPH) bagi memastikan mereka tidak ketinggalan menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara.

Presiden PBPPH Sarawak Datuk Aba Robiyel Huk berkata, persatuan tidak mahu mana-mana bekas anggota sama ada ahli atau bukan ahli ketinggalan menerima penghargaan berkenaan selain memudahkan persatuan menyemak senarai nama mereka.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan persekutuan terutamanya Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang prihatin dengan khidmat anggota keselamatan termasuk bekas Pasukan Polis Hutan dengan memanjangkan isu kepada kerajaan persekutuan.

“Malangnya bagi persatuan, kami tidak mempunyai senarai nama bekas anggota pasukan yang benar-benar terlibat khasnya era darurat dan kami dengan ini menggesa bekas anggota tampil kepada persatuan memandangkan mereka berselerak di seluruh negeri,” katanya pada sidang media di pejabat Kumpulan See Hua di sini, semalam.

Tambah Aba, dengan berbuat demikian persatuan akan membantu mereka menyemak senarai nama dengan senarai utama yang disediakan oleh Bukit Aman untuk pengurniaan penghargaan berkenaan.

Katanya, Sarawak dianggarkan mempunyai lebih kurang 2,000 bekas anggota Polis Hutan sama ada ahli mahupun bukan ahli persatuan.

“Kami mahu memastikan semua bekas anggota kita tampil kerana kami mahu rekod yang lebih tersusun dan bagi keahlian, kami tidak mengenakan sebarang bayaran.

“Kami juga percaya ramai di kalangan bekas anggota sudah meninggal dunia, maka itu persatuan menggesa ahli keluarga mereka tanpa mengira ibu bapa, isteri atau anak-anak mereka boleh menjadi wakil untuk menerima pengurniaan,” katanya sambil memberitahu pengurniaan berkenaan termasuk kepada bekas anggota yang sudah meninggal dunia.

Aba memberitahu, bekas anggota pasukan atau ahli keluarga mereka perlu tampil dan berhubung dengan persatuan sebelum penghujung bulan Januari ini.

Mereka boleh menghubungi beliau menerusi talian 013-8682238 atau Setiausaha Kehormat Leong Thian Cheng (012-8096543), Ahli Jawatankuasa Santokh Singh (019-8891456), Penolong Setiausaha Kehormat Sanchez Masleh (019-821 7781) dan Ahli Jawatankuasa Madehi Kassim (012-8475525).

Semalam akhbar menyiarkan sebanyak 1,000 Pingat Jasa Pahlawan Negara akan diagihkan kepada penerima di Sarawak untuk fasa pertama pengurniaan tersebut bermula pada tahun ini.

Wan Junaidi berkata, penerima yang dikurniakan pingat tersebut merangkumi polis, tentera dan orang awam yang berjuang semasa era darurat dan di Sarawak era darurat bermula dari tahun 1962 hingga 1990, manakala dari tahun 1948 hingga 1960 dan 1969 hingga 1989 di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, Sarawak menjadi negeri pertama pemberian pingat tersebut dan berharap ia dilaksanakan pada bulan ini.

Advertisement