Anda di sini

Banjir di SK Kuala Annau masih di tahap waspada

Advertisement

TUTUP: Banjir yang melanda bangunan sekolah SK Kuala Annau.

Maklumat dan perkembangan terkini banjir turut disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah TatauBINTULU: Situasi banjir yang melanda Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Annau sejak 1 Januari lalu, masih di tahap berjaga-jaga dengan paras air dilihat belum surut sejak pagi semalam.

Keadaan itu memaksa murid-murid sekolah itu kembali ke rumah masing-masing untuk keselamatan.

“Paras air mula naik pada jam 4 petang, 1 Januari lalu, namun hari pertama sesi persekolahan tetap dibuka pada 2 Januari dan semua guru serta kakitangan sekolah melaporkan diri pada hari tersebut,” kata Guru Besar SK Kuala Annau, Mustapa Zen.

Begitupun, pihak sekolah membenarkan murid-murid pulang ke rumah masing-masing berikutan ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka.

Justeru, taklimat khas diadakan pada 2 Januari lalu mengingatkan ibu bapa dan kakitangan sekolah agar sentiasa berjaga-jaga dengan keselamatan diri dan anak-anak didik.

“Namun, saya berharap keadaan banjir akan surut pada minggu depan agar sesi persekolahan dapat diteruskan seperti biasa,” katanya di sini kelmarin.

Dalam pada itu, difahamkan maklumat dan perkembangan terkini situasi banjir di SK Kuala Annau turut disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tatau dari semasa ke semasa.

Selain itu, Mustapa mengucapkan penghargaan kepada pihak pejabat pelajaran yang mengambil berat tentang keadaan banjir yang melanda SK Kuala Annau.

“Saya turut berharap ibu bapa sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk mengetahui perkembangan banjir terkini serta memastikan keadaan sentiasa selamat untuk mereka dan anak-anak pada musim banjir ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan I SK Kuala Annau, Janudin Ab Rahman berkata keadaan banjir pada pagi kelmarin masih bertahan tanpa perubahan bahkan menampakkan paras airnya meningkat apabila tibanya waktu petang.

“Paras air di kawasan asrama sekolah setinggi lima kaki dan di bawah bilik darjah pula sedalam empat kaki,” katanya.

Advertisement