Anda di sini

43 rakyat Indonesia mahu pulang ke Acheh ditahan di pelabuhan

Advertisement

GEORGE TOWN: Pasukan Gerakan Marin (PGM) menahan 43 rakyat Indonesia termasuk seorang bayi di Pengkalan Weld di sini malam kelmarin yang cuba menyeludup keluar untuk pulang ke Acheh.

Ketua Bahagian Risik dan Operasi PGM Wilayah 1, DSP Rosli Sufian berkata dalam pemeriksaan jam 8 malam itu, kesemua mereka duduk berhimpit-himpit di dalam sebuah bot sementara menunggu untuk berlepas.

“Bot itu sebenarnya untuk membawa barang bukan manusia. Kita percaya mereka mahu menggunakan jalan pintas menerusi kawasan perairan secara haram untuk pulang ke Acheh,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata 25 daripada rakyat Indonesia terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Rosli berkata penumpang bot itu dikehendaki membayar sehingga RM600 seorang melalui orang tengah dan perjalanan ke Acheh itu mengambil masa dua hari.

“Kita turut menahan seorang tekong bot dan dua awak-awak serta menyita bot berkenaan,” katanya.

Beliau berkata warga asing itu terdiri daripada 32 lelaki dan 11 wanita yang berusia antara 20-an dan 40-an dibawa ke Pangkalan Polis Marin Batu Uban untuk siasatan lanjut. — Bernama

Advertisement