Anda di sini

Tuai rumah harus bentuk anak buah sokong kerajaan, kata Masir

Advertisement

SRI AMAN: Ketua-ketua masyarakat khususnya tuai-tuai rumah di daerah ini diseru agar membentuk anak-anak buah di bawah jagaan mereka untuk terus menyokong kerajaan, kata Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat

Menurutnya, tuai rumah sememangnya mempunyai peranan penting untuk memastikan segala program pembangunan kerajaan dapat membawa manfaat kepada rakyat.

“Anda yang memegang jawatan sebagai tuai rumah adalah orang yang paling dekat dengan anak-anak buah di kawasan anda. Andalah merupakan ‘wakil rakyat’ di kawasan pentadbiran anda.

“Oleh yang demikian, anda tidak seharusnya meracuni pemikiran rakyat untuk membenci pihak kerajaan sebaliknya andalah orang yang berkuasa di rumah panjang membentuk rakyat untuk terus menyokong kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam anjuran Chapel Saint Martin, Lachau dekat sini malam kelmarin.

Masir berkata, kerajaan BN telah lama bertapak di negara ini dan banyak pembangunan dan kemajuan yang telah dinikmati rakyat.

“Justeru, tiada alasan untuk rakyat menolak pembangunan kerajaan BN oleh kerana kerajaan BN yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di peringkat persekutuan dan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di peringkat negeri telah berjaya membangunkan kita semua.

“Kita harap mereka yang pernah menyokong pihak pembangkang sebelum ini akan kembali semula ke pangkuan BN kerana telah terbukti bahawa kerajaan BN adalah kerajaan yang terbaik dan sentiasa di hati rakyat,” jelasnya.

Tambah Masir lagi, segala pembangunan seperti jalan raya, elektrik, bekalan air bersih dan sebagainya adalah daripada kerajaan BN bukannya pembangkang.

Bukan setakat itu sahaja, katanya, banyak pembangunan tanah telah dibangunkan di kawasan Sri Aman termasuk dengan penanaman skim kelapa sawit, getah dan sebagainya.

“Dengan adanya projek pembangunan tanah ini, kita percaya ia akan memberi keuntungan kepada penduduk di kawasan luar bandar dalam meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” kata lagi.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pembantu Khas beliau, Edmund Pirang serta pemimpin masyarakat yang lain.

Beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5,000 kepada jawatankuasa chapel berkenaan bagi tahun 2014 untuk kegunaan menjalankan aktiviti tahunan mereka.

Advertisement