Anda di sini

Sertai Colour Rush 2.0 buat julung kalinya di Miri

Advertisement

MIRI:Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Negeri Sarawak (SCCS) dengan kerjasama OurYouth.my akan menganjurkan Colour Rush 2.0 buat julung kalinya di sini pada 23 Februari depan.

Pengerusi SCCS Cawangan Miri Jocelyn Hee berkata, penganjuran program terbabit adalah berikutan kejayaan Colour Rush yang diadakan di Kuching pada tahun lepas.

“Penganjuran Colour Rush 2.0 buat pertama kalinya di Miri akan diadakan pada 23 Februari depan, manakala di Kuching iaitu penganjuran kali kedua di sana ialah pada 15 Februari.

“Program berkenaan di sini akan berlangsung di Dewan Suarah Miri mulai jam 6.30 pagi,” ujarnya pada sidang media bertempat di Hotel Somerset di sini, petang semalam.

Menurut Hee yang juga Pengerusi Penganjur Colour Rush 2.0 Miri, program berkenaan terbuka kepada masyarakat setempat yang berminat dengan bayaran pendaftaran RM35.

Jelas beliau, borang penyertaan boleh diperolehi di Hotel Somerset yang terletak di No.12 Kwang Tung Road pada waktu pejabat.

“Dalam usaha mempromosikan program terbabit di sini, kita akan turut membuka gerai pendaftaran di Bintang Megamall Miri dari jam 1 petang hingga 5 petang,” katanya.

Selain itu, pendaftaran juga boleh dibuat menerusi laman sesawang SCCS www.colourrushrun.com.

Antara objektif penganjuran program tersebut ialah meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit kanser sekali gus menggalakkan masyarakat menjayakan acara terbabit sebagai tanda sokongan terhadap kanak-kanak yang menghidap kanser.

Katanya, Colour Rush 2.0 merupakan larian berwarna-warni sejauh lima kilometer bermula dari Dewan Suarah Miri melalui sekitar kawasan Miri sebelum kembali ke dewan berkenaan.

“Sebelum memulakan larian berkenaan, setiap peserta akan diberi dua pek tepung pewarna untuk ditaburkan antara satu sama lain,” katanya sambil menambah bayaran yuran RM35 turut termasuk dengan sehelai baju-T.

Selain itu, katanya, pihak penganjur mengalu-alukan pelbagai pihak yang sudi memberikan tajaan bagi membantu kanak-kanak yang menghidap kanser.

Bagi sebarang pertanyaan mengenai Colour Rush 2.0 Miri, mereka yang berminat boleh menghubungi Hee menerusi talian 019-8841161 atau e-melkan kepada [email protected] untuk keterangan lanjut.

SCCS adalah sebuah organisasi sukarelawan tidak mencari keuntungan yang ditubuhkan oleh sekumpulan ibu bapa yang mempunyai anak yang menghidap kanser.

SCCS berperanan menyediakan bantuan kewangan dan sokongan moral, kemudahan penginapan dan rawatan bagi mereka yang berada di luar kawasan serta pendidikan dan pengetahuan mengenai penyakit kanser di kalangan kanak-kanak.

Advertisement