Anda di sini

Sabar, tunggu tempat parkir bertingkat HUS siap

Advertisement

SESAK: Keadaan kawasan letak kereta di HUS yang kelihatan sesak dengan kenderaan pelawat serta kakitangan berikutan masalah kawasan letak kereta yang tidak mencukupi.

Kontraktor sudah dipilih, hospital dalam proses rekaan dua blok atasi masalah tempat letak kereta

KUCHING: Kesesakan kawasan parkir kereta di pekarangan Hospital Umum Sarawak (HUS) bukan perkara asing bagi pelawat dan kakitangannya.

Ia berlarutan sejak sekian lama sehingga kadang kala menimbulkan rasa marah sesetengah pihak kerana sukar mendapatkan tempat bagi meletakkan kereta mereka untuk tujuan mendapatkan rawatan melawat pesakit mahupun bekerja.

Menurut Pengarah HUS Dr Abdul Rahim Abdullah, cadangan pembinaan tempat letak kereta bertingkat di pekarangan HUS kini dalam proses rekaan dan kontraktor telah dipilih bagi tujuan itu.

“Kami sedar akan masalah ini sejak dahulu lagi. Justeru, beberapa tindakan susulan telah diambil dan proses pembinaan tempat letak kereta itu kini dalam proses lakaran rekaan.

“Kami juga telah melantik kontraktor untuk tujuan pembinaan tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dr Abdul Rahim berkata, HUS memilih untuk membina tempat letak kereta bertingkat bagi memudahkan kakitangan serta pelawat meletak kenderaan di kawasan yang disediakan.

“Pembinaan tempat letak kereta bertingkat itu merangkumi dua blok iaitu blok kakitangan dan blok pelawat.

“Dua blok akan dibina bagi tujuan ini bagi kemudahan pelawat dan kakitangan di HUS, dan diharapkan pembinaan kawasan parkir ini tidak akan menjadi masalah lagi pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, beliau juga menasihati orang awam termasuk kakitangan HUS untuk bersabar sementara menunggu pembinaan tempat letak kereta itu siap yang dijangka akan memakan masa selama satu setengah tahun pembinaan bagi satu blok.

Pada masa sama, beliau menegah orang awam daripada meletak kenderaan mereka sembarangan.

“Orang awam atau kakitangan hospital dilarang untuk meletak kenderaan sesuka hati mereka bagi mengelak kesesakan lalu lintas di pekarangan hospital yang boleh menyusahkan pihak hospital terutama bagi laluan ambulans.

“Sementara menunggu pembinaan tempat letak kereta siap, orang awam dan kakitangan harus bersabar dan bertolak ansur,” katanya.

Katanya, pelawat atau kakitangan boleh meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir persendirian yang terdapat di luar kawasan hospital untuk sementara waktu.

Advertisement