Anda di sini

Pupuk rasa cinta pada bandar raya

Advertisement

TINJAUAN: Abang Abdul Wahap (kiri) dan Wee ketika melawat tapak parit yang dibersihkan oleh DBKU di Jalan Khoo Hun Yeang di Kuching, semalam.

Warga kota perlu tekan aspek kebersihan, kecantikan dan keselamatan

KUCHING: Warga kota disaran memupuk rasa cinta terhadap bandar raya ini terutama dari segi aspek kebersihan, kecantikan serta keselamatan.

Tiga aspek tersebut disifatkan sebagai asas untuk menjadikan Kuching sebuah bandar raya sihat serta jauh daripada sebarang ancaman penyakit mahupun jenayah.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, rasa cinta terhadap bandar yang dipupuk akan menjadikan masyarakat bertanggungjawab.

“Cintailah bandar raya Kuching kerana ia bandar raya kita. Justeru, saya menyarankan setiap masyarakat di bandar raya ini memupuk rasa cinta terhadap tempat tinggal kita.

“Selain itu, rasa cinta serta rasa pemilikan terhadap sesuatu akan menjadikan seseorang individu itu sebagai individu yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi melawat tapak pembersihan parit oleh DBKU di Jalan Khoo Hun Yeang dan sepanjang Lebuh India di sini, semalam.

Abang Abdul Wahap berkata, sikap suka membuang sampah di merata-rata tempat harus dihindar memandangkan hujan berterusan pada masa sekarang boleh mengundang bencana banjir.

Beliau menjelaskan, sampah sarap yang dibuang di merata-rata tempat akan menjejaskan sistem perparitan dan boleh menyebabkan saluran air longkang tersumbat, ujarnya.

“DBKU tidak terlibat secara langsung dalam kerja pemulihan bandar akibat banjir, namun kami turut turun padang bagi membantu pihak terlibat bagi memastikan bandar raya ini selamat daripada bencana banjir.

“Justeru, kami turut membantu untuk membersihkan saluran parit yang menjadi aliran utama air supaya air tidak naik ke kawasan jalan raya dan menyebabkan banjir.

“Marilah kita bersama-sama menjaga kebersihan bandar dan tidak membuang sisa sampah sarap seperti plastik makanan, botol plastik dan sebagainya di merata-rata tempat yang boleh menyebabkan saluran parit tersumbat serta mengakibatkan banjir,” katanya.

Tambah beliau lagi, DBKU telah melantik 14 sukarelawan Jawatankuasa Pusat Bandaraya Kuching (JPBK) terdiri daripada warga kota bagi membantu DBKU untuk meningkatkan mutu kebersihan serta keselamatan bandar.

JPBK yang dilantik akan diletakkan di kawasan-kawasan tertentu di sekitar bandar raya ini bagi menjaga atau mewakili orang ramai yang berhasrat mahu membuat aduan kepada DBKU mengenai apa juga masalah kemudahan bandar yang dihadapi.

“JPBK yang dilantik oleh DBKU akan menghubungi DBKU secara terus untuk sebarang permasalahan yang dihadapi orang ramai sebagai contoh sistem perparitan yang tersumbat, aduan mengenai banjir atau apa sahaja,” tambahnya.

Hadir sama pada lawatan tersebut ialah Ahli Dewan DBKU Datuk Wee Hong Seng, Ketua Timbalan Pengarah DBKU Kartina Zamhari serta pengamal media.

Advertisement