Anda di sini

Pihak berkuasa masih waspada biarpun banjir di Baram kian surut

Advertisement

MARUDI: Banjir di Telang Usan dan Marudi semakin surut, namun pihak berkuasa tempatan masih berwaspada terhadap kemungkinan banjir yang akan berulang sehingga menjejaskan lebih 14,000 penduduk pada Disember lepas.

Justeru, Jawatankuasa Bantuan Bencana Marudi mengarahkan penghantaran sejumlah 1,488 pakej catuan makanan bagi tempoh seminggu untuk 8,310 mangsa banjir yang terdiri daripada 1,407 keluarga yang terjejas, termasuk mereka yang berada di tiga pusat pemindahan yang dibuka sejak banjir dilaporkan pada 20 Disember lalu.

Sejumlah 14,143 orang daripada 54 penempatan terjejas, namun keadaan bertambah pulih di beberapa tempat kecuali di Beluru yang mana paras airnya masih di atas paras bahaya.

Bagaimanapun, Pemangku Pegawai Daerah Marudi Norlila Hajiu Ulis memberitahu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan keadaan banjir tidak seburuk sebelumnya.

“Tetapi pihak kami tetap berwaspada dan berjaga- jaga sepanjang bulan Januari ini memandangkan Marudi mempunyai sejarah mengalami banjir pada Tahun Baharu Cina,” jelasnya dalam taklimat ringkas kepada Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Sylvester Entri Muran.

Sementara itu, Entri yang masih bercuti turut meluangkan masanya untuk melawat ke 15 lokasi berasingan di Marudi bagi melihat sendiri kawasan banjir yang terjejas sebelum melawat ke pusat pemindahan di Beluru.

Entri memuji usaha jawatankuasa bencana berkenaan atas usaha serta bantuan yang diberikan dan berharap agar pihak tersebut meningkatkan lagi sistem penghantaran mereka dan mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki khususnya dalam sistem penghantaran bantuan kepada mangsa banjir.

Mengulas mengenai isu kelewatan dalam penghantaran bekalan makanan kepada mangsa disebabkan keluasan serta logistik yang tidak mencukupi, Entri berharap perkara terbabit dapat diperbaiki oleh pihak berkuasa dengan menyediakan alternatif seperti penggunaan bot tempatan agar tidak bergantung kepada jentera kerajaan sahaja.

“Pihak berkuasa tempatan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu mempunyai dana yang diperuntukkan untuk menyewa bot-bot tempatan bagi menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa banjir agar tidak hanya bergantung kepada kemudahan yang disediakan kerana bimbang ia tidak mencukupi terutamanya pada musim cuti atau perayaan,” jelasnya.

Advertisement