Anda di sini

Penghargaan atas perjuangan

Advertisement

PENGHARGAAN KERAJAAN: Wan Junaidi menunjukkan Pingat Jasa Pahlawan Negara yang akan dikurniakan kepada 10,000 penerima seluruh negara pada sidang media di Kuching, semalam. — Gambar Chimon Upon

1,000 penerima dari Sarawak pertama dikurnia Pingat Jasa Pahlawan Negara tahun ini

KUCHING: Sebanyak 1,000 Pingat Jasa Pahlawan Negara akan diagihkan kepada penerima di Sarawak untuk fasa pertama pengurniaan pingat tersebut bermula tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penerima yang dikurniakan pingat tersebut merangkumi polis, tentera dan orang awam yang berjuang semasa era darurat.

Menurutnya, era darurat di Sarawak bermula dari tahun 1962 hingga 1990, manakala dari tahun 1948 hingga 1960 dan 1969 hingga 1989 di Semenanjung Malaysia.

“Kabinet telah meluluskan pengurniaan ini dan mendapat restu Yang di-Pertuan Agong untuk disampaikan kepada penerima di seluruh negara,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau juga berkata, Sarawak menjadi negeri pertama pemberian pingat tersebut.

Menurutnya lagi, tarikh pelancaran untuk pengurniaan pingat tersebut akan ditentukan kerajaan negeri dan Astana Negeri.

“Kalau boleh pengurniaan pingat dapat dilakukan bulan ini kerana Sarawak merupakan negeri pertama,” ujarnya.

Fasa pertama pengurniaan pingat tersebut, katanya, membabitkan 10,000 penerima di seluruh negara.

“Untuk fasa pertama, seramai 10,000 penerima akan dikurniakan pingat ini.

“Kita ketika ini mempunyai 146,888 senarai penerima, namun bilangan itu belum dimuktamadkan,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambahnya, tiada sebarang elaun diberikan kepada penerima pingat tersebut kerana ia merupakan penghargaan kerajaan kepada perjuangan menentang komunis.

“Ini hanya penghargaan kerajaan. Tiada sebarang elaun diberikan kepada penerima pingat ini,” kata Wan Junaidi.

Advertisement