Anda di sini

Pejabat Residen Kuching akan fokus pembangunan komuniti

Advertisement

KUCHING: Pejabat Residen Kuching merancang pelbagai program yang memfokuskan kepada pembangunan komuniti, kata Residen Kuching Abang Shamshudin Abang Seruji yang baharu ditugaskan ke sini, hujung Disember lepas.

“Pelaksanaan program-program itu nanti akan kita jalankan dengan kerjasama beberapa agensi lain sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan program yang dirancang itu sambil menjelaskan perancangan itu selaras dengan sasaran kerajaan bagi menjadikan Kuching sebagai bandar raya maju menjelang 2030.

“Bahkan, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk menjayakan gaya hidup yang lebih ‘liveable’ dan mapan di kalangan penduduk bandar raya Kuching,” tegasnya.

Abang Shamshudin yang sebelum ini pernah bertugas sebagai Residen Sri Aman mengakui setiap bahagian di negeri ini mempunyai aturan kerja yang dikendalikan dengan cara berlainan.

Mengakui tugas yang dipikulnya kini semakin berat, beliau menyahut cabaran untuk bertugas di Kuching.

Pada masa sama, beliau mencadangkan agar pengeluaran makanan dijalankan di kawasan Kuching bagi mengurangkan kebergantungan makanan daripada sumber import dari bahagian lain.

“Kebanyakan produk datangnya dari luar kawasan Kuching, bagaimana dan berapa lama lagi perkara ini akan diteruskan?

“Penduduk di sini bergantung sepenuhnya dengan produk yang datang dari Kota Samarahan dan kawasan-kawasan lain yang berdekatan.

“Kita harus mempunyai pengeluaran makanan yang mapan lebih-lebih lagi populasi Kuching yang kian bertambah.

“Kita mahu di kemudian hari, semua orang masih dapat menikmati makanan termasuk buah-buahan yang murah tetapi berkualiti,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan komuniti hanya tertumpu di kawasan bandar, manakala di kawasan luar bandar pula memerlukan lebih banyak pembangunan infrastruktur.

Advertisement