Anda di sini

MYA sasar enam pingat termasuk dua emas pada Sukan Asia 2014

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) menyasarkan enam pingat termasuk dua pingat emas pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan, Oktober ini.

Pengurus Besar MYA, Mohd Afendy Abdullah berkata keyakinan berkenaan adalah berdasarkan kepada kedudukan ranking antarabangsa dan juga pasukan pencabar yang akan bertanding pada temasya tersebut.

“Pasukan pelayaran negara telah memulakan latihan persiapan ke Sukan Asia dan juga bagi kelayakan Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil sejak awal tahun,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata antara acara yang mempunyai peluang cerah meraih emas ialah kelas Optimist lelaki dan wanita, walaupun pada Sukan SEA, Myanmar, bulan lepas, acara tersebut gagal menyumbang pingat emas.

Katanya, kegagalan pada Sukan SEA Myanmar adalah disebabkan program bagi acara tersebut dimulakan agak lambat dan tiada pendedahan luar negara bagi acara itu sejak dua tahun lepas.

“Bagaimanapun kita mempunyai pelayar berpotensi dan muda. Mereka perlukan pendedahan sewajarnya,” katanya. — Bernama

Advertisement