Anda di sini

KRT Taman Susur Jambu Timur berazam komited anjur program

Advertisement

SARIKEI: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Susur Jambu Timur berazam terus komited menganjurkan program pada tahun ini sejajar dengan matlamat mereka untuk mengaktifkan kembali pertubuhan itu.

Pengerusinya Bahrin Madon berkata, sejak beberapa tahun lalu, KRT Susur Jambu Timur jarang menganjurkan aktiviti.

“Pergerakan kami sebelum ini agak perlahan. Sekejap aktif, sekejap tidak. Namun, mulai 2014 kami akan menghidupkan kembali KRT ini dengan pelbagai aktiviti menarik.

“Respons ahli amat baik. Bahkan, mereka memberikan kerjasama sangat positif dalam setiap aktiviti anjuran kami.

“Tindak balas positif ini mendorong kami untuk terus komited menganjurkan program tahun depan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program kemasyarakatan anjuran KRT itu di sini, kelmarin.

Terdahulu dalam ucapannya, Bahrin menegaskan bahawa perpaduan antara kaum dapat dicapai dengan baik melalui perencanaan aktiviti yang dilaksanakan oleh KRT.

Malah, katanya, aktiviti perpaduan komuniti di KRT menjadi landasan untuk menyatukan rakyat serta membentuk negara yang aman dan berjaya.

“KRT merupakan platform penting untuk mengukuhkan perpaduan melalui penganjuran aktiviti seperti sukaneka, rekreasi, keagamaan, perayaan kaum, ramah mesra bersama pemimpin dan sebagainya.

“Selain itu, ia juga boleh menjadi medan mempraktikkan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) bagi melahirkan masyarakat berbilang kaum yang progresif,” katanya.

Menurutnya, penubuhan KRT turut menjadi alternatif terbaik bagi menangani masalah sosial di kalangan masyarakat.

“Kita mahu melihat generasi pada masa depan disemai dengan nilai-nilai baik dan pada masa sama perasaan memupuk amalan menghormati sesama kaum agar perpaduan yang dibina sejak sekian lama tidak musnah,” tegasnya.

“Bagi meningkatkan lagi keberkesanan Skim Rondaan Sukarela (SRS),  kami juga akan mengadakan aktiviti yang bersesuaian,” katanya.

Program itu diserikan dengan pelbagai acara menarik antaranya futsal kanak-kanak, pertandingan petanque, derma darah dan pertandingan masakan.

Advertisement