Anda di sini

Kes Britney kini diklasifikasi bunuh

Advertisement

Kanak-kanak mati di Rh Belinsin Ubong, pengawal keselamatan ditahan

SIBU: Seorang pengawal keselamatan ditahan polis petang semalam bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang ditemui mati oleh penduduk kampung di kawasan yang dilanda banjir di Rumah Belinsin Ubong, Sungai Naman, Durin dekat sini pada 1 Januari lepas.

Sebelum ini, mangsa disangka mati lemas, namun selepas mengambil kira fakta kes dan siasatan lanjut, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pengawal keselamatan tersebut yang berumur antara 40 dan 50 tahun dibawa ke Balai Polis Sentral sekitar jam 3 petang semalam. Sebelum ini, ada desa-desus bahawa mangsa yang dikenali sebagai Britney Clement telah dirogol dan dibunuh.

Menurut polis, keputusan bedah siasat pada jam 11 pagi semalam menunjukkan tiada kesan kecederaan fizikal pada tubuh mangsa.

Mangsa yang merupakan seorang murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Naman dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di Balai Polis Lanang pada pagi 1 Januari lepas.

Ketika laporan dibuat sekitar jam 11 pagi hari berkenaan, bapa saudara mangsa menerima panggilan daripada penduduk kampung yang menyatakan mayat mangsa telah ditemui di kawasan yang dilanda banjir kira-kira 50 meter dari rumah panjang mangsa.

Bapa mangsa yang dikenali sebagai Clement Ringkai, 40, ketika ditemui memberitahu para pemberita kali terakhir dia melihat anaknya ialah semasa penduduk rumah panjang itu meraikan ambang tahun baharu pada malam 31 Disember.

“Saya hanya menyedari anak gadis saya tidak berada di rumah selepas bangun keesokan pagi,” katanya. Menurutnya, seorang kakak mangsa telah membantu mangsa memakai pakaian tidurnya pada malam ambang tahun baharu itu.

“Yang peliknya, seluar tidur mangsa didapati terbalik ketika mayatnya dijumpai di kawasan (banjir) sedalam kira-kira tiga kaki tidak jauh dari rumah panjang kami,” ujarnya.

Katanya, Britney merupakan anak bongsu dari empat orang adik-beradik.

“Saya begitu terkejut mendapati dia sudah meninggal pada hari itu. Lagipun dia pandai berenang. Tidak sangka dia telah meninggal dunia dahulu daripada saya,” rintih bapanya.

Ahli keluarga dan saudara mara turut berada di pekarangan rumah mayat di sini ketika bedah siasat dilakukan sehingga tamat pada tengah hari semalam.

Malah, ada yang membawa anak patung milik Britney. Clement menambah, dia telah difahamkan bahawa Britney telah keluar untuk menghantar sepupu lelakinya yang berumur 20-an tidak jauh dari rumah panjang mereka pada jam 10.30 malam itu.

Katanya, lampu suluhnya yang masih menyala telah ditemui terlebih dahulu pada malam ambang tahun baharu itu tetapi mangsa tidak dapat dikesan ketika itu.

Setakat ini, pihak polis telah menyoal siasat dua individu termasuk kakak dan seorang sepupu mangsa berumur 20-an selain pengawal keselamatan rumah panjang tersebut untuk membantu siasatan lanjut polis.

Advertisement