Anda di sini

Hanya empat stadium tidak dibenar anjur perlawanan waktu malam

Advertisement

PETALING JAYA: Hanya empat stadium setakat ini gagal mendapat kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menganjurkan perlawanan Liga Malaysia musim 2014 pada waktu malam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata empat stadium berkenan ialah Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam; Stadium Hang Jebat (Melaka); Stadium Bandaraya (Pulau Pinang) dan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Kita telah membuat pemeriksaan awal ke atas hampir semua stadium dan mendapati empat stadium ini gagal menepati piawaian yang kita tetapkan, maka stadium berkenaan hanya dibenarkan menganjurkan perlawanan pada waktu petang.

“Saya difahamkan pihak pengurusan stadium sedang menjalankan kerja-kerja penambahbaikan (di empat venue berkenaan) bagi memastikan ia dapat digunakan pada waktu malam,” kata Afandi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut di Wisma FAM, Kelana Jaya, di Petaling Jaya, semalam.

Berdasarkan peraturan FAM, setiap stadium yang mahu mengadakan perlawanan pada waktu malam harus mencapai tahap kecerahan lampu limpah sekurang-kurangnya 1,000 Lux.

Menyentuh mengenai perkongsian stadium melibatkan beberapa pasukan, Afandi, yang juga Naib Presiden FAM, berkata pihaknya sedang berusaha memastikan setiap pasukan mempunyai stadium masing-masing selaras dengan hasrat mereka untuk menswastakan Liga Malaysia sebagai sebuah liga profesional menjelang 2015.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang rungutan mengenai jadual perlawanan yang bakal dikeluarkan nanti walaupun dua pasukan Liga Super, Selangor dan Kelantan dijadualkan terbabit dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), musim ini.

“Kita telah mengambil kira penglibatan kedua-dua pasukan berkenaan bagi memberikan keselesaan untuk mereka dalam saingan Piala AFC.

“Selain itu, kita turut bersetuju bahawa tiada sebarang perlawanan akan diadakan pada bulan Ramadan nanti bagi memberikan keselesaan kepada pemain beragama Islam menunaikan ibadah puasa,” kata Afandi.

Liga Malaysia 2014 bakal membuka tirai pada 17 Jan ini menerusi perlawanan Sumbangsih (Piala Sultan Ahmad Shah) antara juara Piala Malaysia, Pahang menentang juara Liga Super, Lions XII dari Singapura di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Perlawanan berkenaan turut dikira sebagai perlawanan pertama Liga Super manakala 10 pasukan lain bakal membuat perhitungan untuk musim 2014, sehari kemudian. Liga Perdana pula bakal memulakan aksi pada 24 Jan ini yang melibatkan keseluruhan 13 pasukan. — Bernama

Advertisement