Anda di sini

Enam pelajar diarah pulang hanya kerana fesyen rambut

Advertisement

KERANA FESYEN: Enam pelajar terbabit duduk di stesen bas di hadapan sekolah mereka selepas tidak dibenarkan masuk ke kelas masing-masing, semalam. — Gambar Jeffery Mostapha

KUCHING: Enam pelajar sebuah sekolah menengah di Demak terkilan tidak dibenarkan mengikuti sesi persekolahan semalam hanya disebabkan fesyen rambut.

Yang peliknya, pelajar terbabit memberitahu mereka tidak mengalami masalah pada hari pertama sesi persekolahan yang bermula Khamis lalu.

“Semalam (kelmarin) kami semua datang ke sekolah dan masuk ke kelas seperti biasa. Tiada masalah mengenai fesyen rambut kami, tetapi hari ini (semalam) kami tidak dibenarkan masuk ke kelas kerana rambut sebegini,” ujar mereka.

Para pelajar yang masing-masing berusia 15 hingga 17 tahun itu berkata, kesemua mereka diarahkan oleh guru disiplin keluar dari sekolah dan pulang ke rumah.

“Sesi persekolahan baharu sahaja bermula tetapi kami tidak dibenarkan masuk ke kelas masing-masing hanya kerana fesyen rambut.

“Berilah amaran dahulu bukannya bertindak tidak membenarkan kami ke kelas kerana ia boleh menyebabkan kami ketinggalan pelajaran,” kata mereka ketika ditemui di stesen bas di hadapan sekolah itu semalam.

Mereka turut memberitahu, guru terbabit juga tidak seharusnya menghukum mereka terus kerana sesi persekolahan baharu sahaja bermula.

“Kami mencadangkan agar pelajar disediakan panduan etika berpakaian dan fesyen rambut pada hari pendaftaran supaya mereka tidak melanggar peraturan sekolah pada hari pertama persekolahan,” tambah mereka.

Keenam-enam pelajar terbabit terpaksa melepak di luar sekolah meskipun pelajar-pelajar lain sibuk belajar pada hari kedua sesi persekolahan, semalam.

“Kalau kami balik ke rumah pun susah kerana ibu bapa pasti marah kerana tidak ke sekolah,” ujar mereka lagi dengan nada kesal.

Justeru, mereka berharap pihak sekolah memberi amaran terlebih dahulu kepada para pelajar, bukannya mengambil tindakan tidak membenarkan masuk ke kelas pada minggu pertama sesi persekolahan.

“Kami amat tidak berpuas hati. Sekurang-kurangnya pihak sekolah memberi peluang atau amaran kepada kami supaya kami tidak mengulangi kesilapan seperti ini bukannya tindakan tidak membenarkan kami mengikuti kelas,” tegas mereka.

Advertisement