Anda di sini

Pembangunan di Betong disifat terpilih

Advertisement

KUCHING: Ketua Publisiti Parti Keadilan Rakyat (PKR) Vernon Kedit menggelar pembangunan di kawasan Betong sebagai ‘selective development’ atau pembangunan terpilih terutama melibatkan Jalan Padeh.

Ini kerana menurut beliau, Jalan Padeh yang merupakan salah satu jalan popular di bahagian Betong teramat daif meskipun hanya terletak pada jarak 10 minit dari pekan Betong yang dikatakan pesat membangun.

“Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, seringkali memberitahu bahawa Betong sangat membangun.

“Tetapi mengapa 10 minit selepas pekan Betong jalan raya masih jalan kuning?

“Inikah yang digelar sebagai pesat membangun? Beliau (Jabu) perlu menyemak semula faktanya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini semalam.

Tambah Vernon, dalam tinjauannya pada 26 Disember lepas bersama beberapa ahli PKR yang lain, ternyata Jalan Padeh yang digelar sebagai Jalan Kampung Seribu masih daif.

Jelasnya, dua kilometer (km) telah diturap, dua km lagi berbatu, setengah km lagi diturap, lima km jalan kuning dan lain-lain km berbatu.

“Bolehkah beliau menjawab rakyat terutama yang mendiami sepanjang Jalan Padeh. Beliau adalah wakil rakyat bagi Layar mengapa beliau membiarkan rakyat di kawasannya menderita,” tambah Vernon.

Advertisement