Anda di sini

Parti majoriti Dayak harus diiktiraf: Masing

Advertisement

KUCHING: Parti majoriti Dayak, khususnya Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) harus diikti­raf sewajarnya atas sumban­gan mereka yang membole­hkan Barisan Nasional (BN) terus memerintah negara ini, kata Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing semalam.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh mengulangi seruan itu selepas Persatuan Cina Malaysia (MCA) di bawah kepimpinan baharu Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan memohon dua jawatan menteri penuh dan sekurang-kurang­nya dua jawatan timbalan menteri dalam rombakan kabi­net BN yang dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Masing berkata, walaupun pelantikan jawatan kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri merangkap Pengeru­si BN Datuk Seri Najib Tun Razak, perwakilan dalam kabinet BN seharusnya sejajar dengan sumbangan setiap parti dari segi jumlah wakil rakyat atau ahli Parlimen.

“Perkara yang sama diguna pakai kepada MCA jika mere­ka menarik balik keputusan mereka dan ingin menyertai kerajaan BN.

“Bagaimanapun, setiap parti dalam perikatan BN mesti diberi peruntukan dari segi jawatan menteri ber­dasarkan jumlah wakil rakyat yang disumbangkan oleh parti dan bukannya menurut keahl­ian,” tegasnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan hakikat bahawa peruntukan jawatan menteri masih menjadi prerogatif Per­dana Menteri yang terpaksa mengambil kira kedudukan 14 parti dalam perikatan BN.

Perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati adalah hakikat bahawa PRS dan SPDP mencapai kemenangan 100 peratus dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), manakala MCA mencatatkan prestasi hambar.

PRS memenangi kesemua enam kerusi Parlimen yang dipertandingkan manakala SPDP pula memenangi keem­pat-empat kerusi, sedangkan MCA hanya memenangi tu­juh daripada 39 kerusi pada PRU13.

Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom tidak dapat dihubungi untuk men­dapatkan kenyataan.

 

Advertisement