Anda di sini

Muhyiddin tinjau suasana hari pertama persekolahan

Advertisement

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam meninjau suasana hari pertama sesi persekolahan 2014 di Sekolah Kebangsaan Presint 14 (1), di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan meluangkan masa setengah jam meninjau suasana di kelas yang menempatkan murid tahun satu dan juga bilik terapi pendidikan khas di sekolah berkenaan.

Beliau juga bermesra dan bertanya khabar dengan murid-murid dan ibu bapa di sekolah itu.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan,  Datuk Dr Madinah Mohamad dan Guru Besar SK Presint 14 (1) Norihan Karim.

SK Presint 14 (1) mempunyai 1,350 murid dan 45 murid di lima kelas pendidikan khas bermasalah pembelajaran dan empat lagi murid di prasekolah pendidikan khas.

Sementara itu, Norihan menyifatkan lawatan Muhyiddin pada hari pertama persekolahan merupakan satu sejarah di sekolah itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada timbalan perdana menteri..ini juga merupakan satu sejarah kepada saya sebagai guru besar di sekolah ini,” katanya kepada pemberita di sini.

Norihan berkata perjumpaan dengan Muhyiddin turut membincangkan masalah di sekolah berkenaan termasuk Internet dan juga pelaksanaan kokurikulum pada waktu pagi.

Norihan berkata hari pertama persekolahan di sekolah itu berjalan lancar dengan para pelajar tahun satu mula menjalani program transisi selama tujuh hari bermula semalam.

Seramai 260 murid memasuki tahun satu di sekolah itu.

Selepas itu, Muhyiddin turut melawat beberapa sekolah di Kuala Lumpur, dengan sekolah pertama yang dilawatinya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan St. Gabriel di Kampung Pandan.

Ketibaan beliau pada jam 9.40 pagi disambut pengetua sekolah, Tan Loo Kee, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kapt Sam Abdul Mutalib Hassan dan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani.

Muhyiddin meluangkan masa kira-kira 40 minit meninjau sekitar bilik darjah serta memasuki tiga buah kelas dan dilihat bertanya khabar dan bermesra dengan para pelajar serta guru yang sedang mengajar.

Tan yang ditemui berkata kedatangan Muhyiddin memberi peluang kepada tenaga pengajar serta pelajar mengenali pemimpin yang disifatkan mesra murid itu dengan lebih dekat selain membangkitkan perkara berkaitan sekolah.

“Pada kesempatan ini, pihak sekolah melalui PIBG menyerahkan surat bagi memohon bantuan RM3 juta untuk membina bangunan baharu setinggi tiga tingkat serta menggantikan bumbung yang bermasalah ketika hujan,” katanya.

Sekolah yang dibuka pada tahun 1946 itu beroperasi secara dua sesi, mempunyai 44 guru dan 560 murid dengan 70 peratus daripadanya adalah pelajar berbangsa Cina.

Timbalan perdana menteri kemudian meninjau Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kampung Pandan, Jalan Thaver.

Beliau berada di sekolah itu selama setengah jam meninjau proses pembelajaran dan pengajaran yang sedang berlangsung termasuk sebuah kelas yangmenempatkan 39 murid tahun satu.

Guru besar sekolah berkenaan R. Rathinammal ketika ditemui pemberita berharap permohonan membina bangunan baharu empat tingkat bagi menggantikansebuah blok bangunan lama dapat diluluskan segera.

Katanya selain untuk menampung jumlah murid yang semakin bertambah, sekolah itu masih tidak mempunyai dewan dan bilik mesyuarat.

Dibuka pada 1953, SJKT Kampung Pandan hanya mempunyai dua blok bangunan dua tingkat dengan 10 buah kelas termasuk satu kelas prasekolah, yang bolehmenampung 269 murid, 25 murid prasekolah dan 22 guru.

Muhyiddin kemudian melawat SJK Cina Chung Hwa, Setapak. — Bernama

Advertisement