Anda di sini

Kongres Kajiparasit dan Perubatan Tropika ASEAN bincang penyakit tropika

Advertisement

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes demam denggi di Malaysia dan kesukaran untuk mengawal atau membasmi nyamuk Aedes yang menjadi pembawa penyakit itu antara topik yang akan dibincangkan pada Kongres Kajiparasit dan Perubatan Tropika ASEAN (ACTMP) di sini Mac ini.

Kongres kali keenam anjuran Persatuan Kajiparasit dan Perubatan Tropika Malaysia (MSPTM) selama tiga hari itu akan menghimpunkan penyelidik serta pengurus program untuk menyepadukan hasil penyelidikan bagi meningkatkan kefahaman tentang penyakit tropika, menambah baik diagnosis dan melaksanakan aktiviti kawalan.

Menurut pengerusi pengelola, Dr Indra Vythilingam, bidang utama perbincangan adalah kaedah untuk mengawal dan membasmi nyamuk Aedes.

“Mengawal dan membasmi Aedes sangat penting kerana nyamuk ini perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang dapat menjadikannya lebih lasak, dan antara penyesuaian itu adalah keupayaan telur untuk bertahan tanpa beberapa air selama beberapa bulan di dinding bahagian dalam bekas pengisi.”

Kongres bertemakan ‘Cabaran Global dalam Penyakit Tropika: Merapatkan Jurang dan Mewujudkan Perkongsian’ itu dianjurkan bersempena dengan Jubli Emas MSPTM akan berlangsung dari 5-7 Mac.

“Hasil penyelidikan utama dicapai dalam bidang perubatan dan kajiparasit tropika sejak 50 tahun lepas dan kami berharap kongres ini akan memberi peluang bagi pertukaran cadangan berbentuk saintifik dan menyediakan forum untuk membincangkan kemajuan penting dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Universiti Malaya baru-baru ini.

“Kongres itu akan turut menyediakan platform unik untuk bertemu rakan setugas, pengurus program, klinisian dan mentor. Ringkasnya, Jubli Emas inimerupakan titik pertemuan penting bagi penyelidik daripada kalangan akademik,industri dan klinik dari negara maju serta membangun, sekali gus memperkukuhkanpersahabatan sedia ada dan menjalin yang baharu.”

Penceramah termasuk penyelidik dan profesor dari universiti tempatan dan antarabangsa terkemuka seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya,Cornell University (Amerika Syarikat) dan Obihiro University of Agriculture andVeterinary Medicine (Jepun). — Bernama

Advertisement