Anda di sini

Kenaikan bayaran perlu kelulusan PIBG, jabatan

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan mengingatkan bahawa setiap kenaikan bayaran sekolah yang dicadangkan mana-mana sekolah perlu mendapat kelulusan Jabatan Pendidikan terlebih dahulu.

Keputusan kenaikan bayaran atau kutipan wang sekolah itu juga harus dibuat dengan persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Kementerian Pendidikan tidak pernah mengarahkan mana-mana sekolah untuk meningkatkan kadar bayaran kerana yuran persekolahan telah dimansuhkan oleh kerajaan, katanya.

“Biasanya apabila sekolah hendak mengenakan yuran, mereka kena dapat kelulusan daripada JPN, itu wajib. Sebelum cadangan itu diberi biasanyapengurusan sekolah akan berbincang dengan PIBG. Selepas bersetuju dengancadangan itu, mereka akan mohon.

“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga akan melihat atas asas apa mereka minta itu. Sekiranya permintaan ini munasabah, pihak PPD akan luluskan. Dasar kita, yuran sekolah memang sudah tidak ada,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Penglihatan) Alma, di sini semalam.

Beliau berkata bayaran sekolah yang dikenakan itu meliputi beberapa keperluan persekolahan seperti alat tulis, buku latihan, majalah dan pakaian sukan.

Kamalanathan berkata ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan kadar bayaran yang ditetapkan oleh sekolah anak-anak mereka masih boleh membuat aduan ke PPD atau JPN.

“Mereka kena maklumkan kepada PIBG sekiranya mereka tidak mampu membayarnya. PIBG seharusnya mewakili ibu bapa. Apabila keputusan dibuat oleh PIBG, mereka perlu mendapat persetujuan daripada ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata bantuan persekolahan RM100 daripada kerajaan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah bertujuan turut membantu meringankan beban yang ditanggung ibu bapa, dan pembayaran akan dibuat selepas 15 Jan.

Mengulas cadangan mewujudkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tamil di negeri ini, Kamalanathan berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan.

Bagaimanapun beliau menyarankan bahawa sebelum ada pihak mencadangkannya mereka seharusnya mencari kaedah untuk meningkatkan jumlah pelajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil terlebih dahulu. — Bernama

Advertisement