Anda di sini

JKM bantu keluarga terputus hubungan di Lubok Bemban

Advertisement

BANTUAN BANJIR: Fatimah menyerahkan bantuan kepada salah seorang mangsa banjir sambil diperhatikan oleh Supiah (tiga kiri), Shafrie (dua kiri) serta yang lain.

SELANGAU: Jabatan Ke­bajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Mukah menghu­lurkan bantuan barangan makanan kepada 285 keluarga dari 18 buah rumah panjang di kawasan Lubok Bemban, yang terputus hubungan akibat banjir bermula dari 30 Disember 2013 sehingga 1 Januari 2014.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah ber­kata, bantuan tersebut akan disalurkan kepada semua mangsa yang terlibat melalui tuai-tuai rumah di kawasan Lubok Bemban.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 52 pintu atau kelu­arga dari empat buah rumah panjang di kawasan Lubok Bemban telah mendapatkan bantuan makanan dari Pan­gkalan Hadapan yang telah kita tubuhkan di kawasan tersebut,” jelasnya kepada pemberita, semalam.

Beliau ditemui selepas menyerahkan Bantuan Makanan Mangsa Bencana Banjir Kawasan Lubok Bem­ban bertempat di Jeti Pekan Selangau, semalam.

Bantuan itu adalah bagi 233 keluarga dari 14 buah rumah panjang. Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, JKM setakat ini telah menubuhkan sebanyak 83 buah Pangkalan Hadapan di seluruh negeri sebagai persediaan untuk menghadapi bencana banjir. “Pangkalan Hadapan tersebut ditubuhkan sebagai tempat untuk menyimpan bekalan makanan.

Bila berlakunya terputus hubungan akibat bencana banjir seperti ini, kita dapat menghantar bantuan makanan dengan segera kepada mangsa yang terlibat,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan semua tuai rumah di kawasan yang terjejas akibat banjir su­paya sentiasa memaklumkan keadaan di kawasan mas­ing-masing kepada Pejabat Daerah. “Ini penting untuk memudahkan Pejabat Daerah dan pihak yang berkaitan menyalurkan bantuan dengan kadar segera kepada semua mangsa banjir,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, berdasarkan laporan dari Unit Pendaftaran dan Per­hubungan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), seh­ingga jam 3 petang semalam sebanyak 13 buah sekolah di seluruh negeri masih ditutup akibat bencana banjir.

Sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tagageng yang terletak di Daerah Subis, SK Kampung Nyalau (Bintulu) serta SK Sungai Menyan, SK Ulu Sungai Sengan, SK Nanga Assan, SK Jalan Deshon dan SK Nanga Bon, kesemuanya di Sibu.

Turut ditutup ialah SK Kampung Klid/Plajau (Dalat), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khung Cheng (Meradong), SK Metalun (Belaga) serta SK Saint Mark, SK Nanga Selangau dan SK Kuala Lemai di Selangau.

Pada majlis sama, Fatimah menyerahkan bantuan berupa barangan makanan, peralatan dapur, wang saku dan bahan binaan kepada dua buah keluarga mangsa kebakaran dari Rumah Sigah, Sungai Baoh Burak, Dalat. Kejadian kebakaran itu berlaku pada 19 Disember tahun lepas, kira-kira jam 7.15 malam.

Selain itu, Fatimah men­yampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM15,000 kepada Rumah George Egun untuk pembel­ian enjin sangkut dan perahu gentian kaca.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Mukah Mohamad Supiah Hamdan, Pegawai Daerah Mukah Shafrie Saili serta yang lain.

 

Advertisement