Anda di sini

Segerakan bantuan kepada mangsa banjir

Advertisement

Kerajaan persekutuan perlu segera salur bantuan kepada mangsa banjir di utara Sarawak

MIRI: Kerajaan persekutuan perlu segera menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di utara Sarawak sama seperti bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir di Semenanjung Malaysia.

Aktivis Sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata, agensi kerajaan berkaitan harus segera membantu mangsa banjir di pusat pemindahan dari segi bantuan makanan.

“Mangsa banjir di Kampung Asyakirin Bintulu contohnya amat memerlukan bantuan segera daripada agensi kerajaan kerana ada kalangan mangsa mengadu tidak mendapat bantuan,” katanya di sini semalam.

Wan Zain berkata, kerajaan persekutuan wajar memanjangkan bantuan RM500 kepada mangsa banjir di Sarawak yang turut terjejas dengan bencana banjir.

“Kebanyakan mangsa turut mengalami kerugian dari segi kerosakan harta benda dan kerajaan harus mempertimbang bantuan kepada mereka yang terjejas dengan bencana terbabit,” jelasnya.

Pada masa sama, kementerian berkaitan harus segera turun padang membantu mangsa banjir sama ada untuk mendapat bantuan atau perlindungan sementara.

“Janganlah hanya menunggu arahan pihak atasan baharu hendak bertindak.

“Agensi kerajaan berkaitan sewajarnya segera membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir,” ujarnya.

Beliau turut memuji Ahli Parlimen Bintulu yang segera turun padang untuk melihat keperluan dan kebajikan mangsa banjir khasnya di beberapa kampung yang telah dinaiki air.

Katanya mangsa banjir juga wajar mendapat insurans seperti yang diumumkan kerajaan kepada mangsa banjir di pantai timur.

“Secara peribadi, saya melihat mangsa banjir ini sememangnya memerlukan bantuan bukan sahaja dari segi menampung kerugian kerosakan harta benda tetapi juga keperluan lain,” katanya.

Menurutnya, beberapa mangsa banjir sebelum ini mengadu tidak mendapat perhatian daripada pihak berkaitan.

“Agensi kerajaan berkaitan harus bersiap sedia dengan penyimpanan bekalan makanan dan keperluan lain kerana kita juga berdepan masalah banjir serius seperti di Terengganu,” ujarnya.

Wan Zain menambah, bantuan khas yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak harus sampai kepada mangsa banjir tanpa sebarang kerenah birokrasi.

“Kita tidak mahu apabila mangsa banjir ini memerlukan bantuan segera, agensi kerajaan berkaitan melengah- lengahkan permohonan mereka sedangkan bantuan khas itu untuk mereka,” katanya.

Advertisement